Rabu, 7 September 2016 | 6:22pm

Seni budaya perlu seimbang dengan pendidikan

PENASIHAT Sosio Budaya Kerajaan, Tan Sri Dr Rais Yatim. - Foto Asyraf Hamzah

GOMBAK: Seni budaya dan pendidikan perlu seimbang untuk membentuk citra manusia berperibadi tinggi tetapi ia perlu didukung oleh Islam serta selari dengan budaya Melayu.

Penasihat Sosio Budaya Kerajaan Malaysia, Tan Sri Rais Yatim, berkata manusia tidak boleh lari daripada seni budaya, malah dalam sesetengah hal ia mencetus semangat perjuangan.

"Bagaimana bentuk kita berjuang pun, jangan lupa asas perjuangan seni mesti selari dengan Islam," katanya ketika merasmikan majlis Sepetang Bersama Pusat Antarabangsa Kebudayaan (CiTRA) - Salam Merdeka di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Rektor UIAM, Prof Datuk Seri Dr Zaleha Kamarudin; Pengarah CiTRA, Dr Mahadi J Murat dan Presiden Karyawan Malaysia, Datuk Freddie Fernandez.

Program yang menjadi acara tahunan menyambut kemasukan pelajar baharu itu, menghimpunkan 12 persatuan berkaitan kebudayaan dan kesusasteraan yang bernaung di bawah CiTRA.

Sementara itu, Mahadi menyifatkan CiTRA sebagai usaha memperluaskan aprisiasi seni dan budaya dalam kalangan pelajar UIAM.

"Kebudayaan dapat membantu peribadi apabila digandingkan dengan pendidikan yang diterima, apatah lagi kebanyakan pelajar bukan datang dari latar pendidikan berkaitan kebudayaan tetapi minat yang menghimpunkan mereka di sini," katanya.

Berita Harian X