Rabu, 7 September 2016 | 6:59pm
MENTERI Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin bersama kontinjen paralimpik yang beraksi di temasya sukan Paralimpik Rio 2016 di Hotel Grand Season Jalan Pahang, pada 28 Ogos lalu. - Foto Hasriyasyah Sabudin
MENTERI Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin bersama kontinjen paralimpik yang beraksi di temasya sukan Paralimpik Rio 2016 di Hotel Grand Season Jalan Pahang, pada 28 Ogos lalu. - Foto Hasriyasyah Sabudin

Atlet paralimpik negara sudah sedia bertarung

KUALA LUMPUR: Kontinjen paralimpik negara kini berada dalam kondisi terbaik dan sudah bersiap sedia untuk masuk ke gelanggang pertandingan.

Ketua kontinjen negara ke Sukan Paralimpik di Rio de Janeiro, Brazil, Dr Ang Kean Koo berkata beliau amat berpuas hati dengan persiapan dan semangat yang ditunjukkan oleh para atlet dalam menghadapi temasya kali ini.

Katanya, bantuan daripada jurulatih dan pakar daripada Institut Sukan Negara (ISN) banyak memberi manfaat dalam persediaan atlet di Rio de Janeiro.

"Saya amat senang hati dengan perkembangan semasa para atlet di sini. Semua atlet dalam mood yang terbaik dan sudah dapat menyesuaikan diri.

"Mereka menunjukkan perkembangan positif dan semua sudah bersedia untuk bertanding," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Dalam pada itu, beliau berkata lima daripada lapan acara telah selesai mengadakan Mesyuarat Pengurus dan Teknikal, dan acara tersebut akan berlangsung mengikut jadual asal.

Lima acara berkenaan yang akan disertai atlet negara adalah ping pong, powerlifting, olahraga, renang dan berbasikal.

Kontinjen Malaysia seramai 21 atlet akan mengambil bahagian dalam lapan daripada 23 jenis sukan yang dipertandingkan dengan olahraga, powerlifting dan berbasikal dianggap mempunyai prospek pingat.

Sebagai rekod, Malaysia mula menyertai Sukan Paralimpik pada 1972 di Heidelberg, Jerman dengan hanya membabitkan tiga atlet sahaja, namun untuk tiga temasya berikutnya tiada atlet negara yang beraksi.

Kontinjen negara kembali menyertai temasya itu pada 1988 di Seoul, Korea Selatan dan berjaya memenangi pingat pertama menerusi P Mariappan dalam acara powerlifting yang meraih pingat gangsa.

Pada temasya di Barcelona 1992, kontinjen Malaysia memperbaiki pungutan pingat dengan satu pingat perak melalui Cheok Kon Fatt dalam acara powerlifting dan dua gangsa masing-masing oleh Mariappan (powerlifting) dan Mohd Khasseri Othman (olahraga).

Pada edisi ke-13 di Beijing, China pada 2008, atlet powerlifting, Siow Lee Chan mencatat sejarah negara dengan muncul atlet wanita pertama memenangi pingat di temasya itu. Pingat gangsa itu adalah satu-satunya pingat kontinjen Malaysia di Beijing.

Di London pada 2012, kontinjen negara meraih satu pingat perak melalui Hasihin Sanawi dalam acara memanah recurve dan satu pingat gangsa melalui Muhammad Ziyad Zolkefli dalam olahraga (lontar peluru). - BERNAMA

Berita Harian X