Rabu, 7 September 2016 | 10:37pm

BNM dijangka turunkan OPR sebelum akhir tahun

KUALA LUMPUR: Pakar ekonomi mengunjurkan Bank Negara Malaysia akan menurunkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) sebelum akhir tahun setelah mengekalkannya pada 3.00 peratus dalam Mesyuarat Dasar Monetari hari ini.

Ketua Ekonomi MIDF Amanah Investment Bank Bhd, Dr Kamarudin Mohd Nor, berkata unjuran itu adalah berasaskan petunjuk dalaman dan luaran mengenai pertumbuhan ekonomi yang sederhana pada masa akan datang.

"Kami percaya BNM masih mengunjurkan data kukuh direkodkan dalam pasaran tempatan sebelum membuat sebarang langkah menurunkan kadar faedah, sekurang-kurangnya dalam jangka pendek.

"Keputusan hari ini boleh dianggap sebagai keputusan berdasarkan budi bicara," katanya.

Beliau berkata faktor dalaman dan luaran, terutama perbelanjaan kerajaan, kadar pengangguran, aktiviti pelaburan, jumlah deposit/simpanan serta eksport, kesemuanya menunjukkan penurunan.

Kamarudin berkata keputusan untuk mengekalkan OPR ketika ini boleh dianggap sebagai hasrat bank pusat itu untuk tidak memberi isyarat yang tidak tepat kepada pasaran bahawa ekonomi dalam kedudukan sukar menerusi dua potongan kadar berturut-turut.

"Selain itu, ringgit kini agak lemah dan ini boleh menjadi faktor BNM menangguhkan penurunkan kadar faedah," katanya.

Pada Julai, BNM membuat keputusan di luar dugaan apabila menurunkan OPR sebanyak 25 mata asas kepada 3.00 peratus, dengan berkata langkah itu diambil berikutan risiko yang meningkat ekoran tindakan Britain keluar daripada Kesatuan Eropah.

Sementara itu, Kamarudin juga berkata BNM akhirnya akan melaksanakan langkah itu memandangkan firma penyelidikan itu mengunjurkan beberapa bentuk rangsangan fiskal akan diumumkan menerusi pembentangan Bajet 2017 bulan depan.

Kebanyakan firma penyelidikan sebelum ini menjangkakan OPR akan diturunkan lagi berasaskan pelbagai faktor, termasuk defisit bajet kerajaan sebanyak RM32.9 bilion pada Julai 2016, hampir memenuhi sasaran setahun penuh sebanyak RM38.8 bilion.

"Ekonomi dunia terus lemah dan data perdagangan aktiviti import eksport bagi Julai yang dikeluarkan hari ini dijangkakan mendorong BNM menurunkan kadar faedah bagi merangsang ekonomi," kata Kamarudin.

Eksport Malaysia bagi Julai berkurangan sebanyak 5.3 peratus tahun ke tahun kepada RM59.85 bilion, manakala import menyusut 4.8 peratus kepada RM57.94 bilion, berdasarkan data yang dikeluarkan oleh Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri di sini.

Bagaimanapun, negara mengekalkan aliran positif dengan merekodkan lebihan dagangan sebanyak RM1.91 bilion bagi Julai.

Sementara itu, Naib Presiden yang juga Ketua Penyelidik Runcit Affin Hwang Investment Bank Datuk Dr Nazri Khan Adam Khan berkata keputusan BNM mengekalkan OPR itu sebagai 'tindakan selamat' bagi memastikan pertumbuhan ekonomi terus kukuh.

"BNM tidak mengubah kadar disebabkan ketidaktentuan dalam ekonomi dunia dan turun naik ringgit," katanya.

Beliau berkata, bank pusat itu juga memantau sebarang program rangsangan yang akan dilaksanakan oleh kerajaan sebelum membuat pelarasan ke atas kadar faedah.

Nazri Khan bagaimanapun sependapat dengan ahli ekonomi yang lain bahawa BNM dijangka menurunkan kadar faedah pada November bagi memastikan pertumbuhan ekonomi dikekalkan.

Beliau berkata langkah itu adalah selari dengan bank -bank pusat serantau yang terus akomodatif dalam merangsang ekonomi. - BERNAMA

Berita Harian X