Khamis, 8 September 2016 | 9:32pm
SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM)
SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM)

Lapan ditahan SPRM Sabah kes palsukan dokumen pinjaman

KOTA KINABALU: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan lapan individu, tujuh daripadanya kakitangan sebuah bank kerana disyaki terbabit dalam sindiket memalsukan dokumen pinjaman di institusi kewangan itu.

Penahanan lapan individu berusia 25 hingga 29 tahun terbabit dibuat menerusi 'Ops Money' oleh sepasukan pegawai SPRM Sabah hasil risikan sejak beberapa minggu lalu.

Pengarah SPRM Sabah, Datuk Shaharom Nizam Abd Manap, berkata pihaknya menerima aduan daripada seorang penjawat awam berusia 33 tahun pada 2 September lalu berhubung dua pegawai bank berkenaan meminta RM7,000.

Katanya, ia sebagai balasan kerana membantu mengurus permohonan pinjaman peribadi pengadu dan wang tunai terbabit diminta diserahkan apabila pinjaman telah dimasukkan ke akaun pengadu.

"Berikutan itu, SPRM menjalankan operasi dan tiga lelaki termasuk seorang bekas pegawai bank berkenaan ditahan di sebuah restoran di pusat beli-belah 1Borneo di sini pada malam Selasa lalu.

"Susulan itu, SPRM melakukan serbuan dan penggeledahan di tiga premis iaitu cawangan bank berkenaan di Harbour City dan Likas, selain rumah milik seorang kakitangan institusi kewangan itu di sini, semalam.

"Hasil serbuan, sejumlah barang disita antaranya komputer riba, enam telefon bimbit serta dokumen pinjaman peribadi," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Shaharom Nizam berkata, susulan siasatan di tiga premis itu, pihaknya menahan lima kakitangan bank berkenaan kerana disyaki menerima wang suapan selepas pinjaman diluluskan dan memalsukan dokumen.

"Semua lima lelaki terbabit ditahan di pejabat SPRM Sabah ketika dipanggil untuk membantu siasatan malam tadi," katanya.

Tiga individu yang ditahan Selasa lalu direman enam hari, manakala lima yang direman tujuh hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X