Jumaat, 9 September 2016 | 12:05am
PENGERUSI Malaysian Divers Group (MDG Scuba), Kapten (B) Sazali Sakiran (kanan) sedang memeriksa peralatan yang digunakan peserta yang menyertai 'Merdeka Diver' iaitu menyelam di Tanjung Biru, Port Dickson, Negeri Sembilan. - Foto Mohd Khidir Zakaria
KEADAAN karang di beberapa kawasan terumbu karang di dasar laut perairan Port Dickson. - Foto Ihsan Mdg Scuba
KEINDAHAN batu karang yang terdapat di perairan Tanjung Tuan, Port Dickson. - Foto Ihsan Mdg Scuba
KEADAAN karang di beberapa kawasan terumbu karang di dasar laut perairan Port Dickson. - Foto Ihsan Mdg Scuba
PELBAGAI terumbu karang yang boleh dilihat di perairan ini walaupun tidak sejernih di perairan tumpuan yang lain. - Foto Ihsan Mdg Scuba
KEADAAN karang di beberapa kawasan terumbu karang di dasar laut perairan Port Dickson. - Foto Ihsan Mdg Scuba
PENYELAM membawa Jalur Gemilang ketika aktiviti menyelam sempena Merdeka Diving di Tanjung Biru, Port Dickson.

Menyelam bersama penyu di Port Dickson

PORT DICKSON: Di sebalik tanggapan umum air pantai daerah ini keruh, perairan Tanjung Tuan terutama berhampiran Pantai Tanjung Biru di sini, semakin terkenal sebagai destinasi selam skuba.

Walaupun airnya tidak sejernih lokasi aktiviti menyelam sekitar perairan pulau di Sabah dan pantai timur Semenanjung, namun Port Dickson tetap menjadi pilihan penyelam dari Lembah Klang yang mempunyai masa terhad.

Ini kerana mereka boleh datang pada hujung minggu berbanding sekurang-kurangnya tiga hingga empat hari apabila mengikuti trip menyelam di kawasan lain.


PENYELAM melihat penyu belimbing di dasar laut ketika aktiviti menyelam sempena Merdeka Diving di Tanjung Biru, Port Dickson.

Penyedia perkhidmatan selam skuba MDG Scuba, Sazali Sakiran, yang beroperasi di Pantai Tanjung Biru, berkata perairan itu mempunyai karang laut yang cantik, setanding tapak selaman lain di seluruh negara.

"Kombinasi karang jenis keras dan lembut di kawasan ini menjadi habitat pelbagai spesies hidupan marin termasuk ikan, kuda laut dan penyu. Malah, kami kerap terserempak penyu mencari makanan di kawasan ini ketika menyelam.

"Lebih menarik, sejak kebelakangan ini, sudah beberapa kali kami terserempak ikan lumba-lumba yang berenang di permukaan laut ketika menaiki bot di perairan Tanjung Tuan," katanya kepada BH.

Beliau berkata, penyelam cuma perlu mengetahui masa tepat mendapatkan tahap penglihatan mencecah lapan meter dan jika keadaan air kurang baik sekali pun, mereka masih boleh mendapat jarak kira-kira tiga meter.

Kajian Jabatan Perikanan mendapati perairan Port Dickson mempunyai kira-kira 30 gugusan terumbu karang di sepanjang pantai sejauh lebih 30 kilometer, bermula di pusat bandar ini hingga ke Sungai Linggi di sempadan Melaka.


KOMBINASI karang jenis keras dan lembut di kawasan ini menjadi habitat pelbagai spesies hidupan marin termasuk ikan. - Foto Ihsan Mdg Scuba

Malah, perairan ini dikenal pasti oleh Institut Penyelidikan Perikanan (FRI) sebagai satu-satunya kawasan berhampiran pantai di tanah besar yang mempunyai terumbu karang yang membiak dengan sihat, di negara ini.

Sementara itu, Pengarah Perikanan Negeri Sembilan, Zainudin Abdul Wahab, berkata perairan Tanjung Tuan mempunyai gugusan terumbu karang paling terpelihara kerana diwartakan sebagai kawasan larangan perikanan mengikut Akta Perikanan 1983.

"Kawasan ini digelar Mutiara Port Dickson kerana mempunyai karang laut paling cantik dan sihat dan menjadi kawasan pembiakan hidupan laut terutama ikan yang paling penting di perairan daerah ini. 

"Kita gembira dengan kehadiran lebih ramai penyelam dan pengunjung di Port Dickson, namun pada masa sama meningkatkan pemantauan dan usaha memelihara serta memulihara bagi mengelakkan karang laut pupus," katanya.

Beliau berkata, pihaknya melakukan rondaan darat di kawasan itu bagi mencegah aktiviti curi karang dan dalam perancangan meletakkan tukun tiruan bagi membantu pembiakan ikan, selain memasang sangkar bagi melindungi karang yang dalam proses penyembuhan.


SAZALI Sakiran (kanan) sedang memberikan taklimat kepada peserta yang menyertai 'Merdeka Diver' menyelam di Tanjung Biru, Port Dickson, Negeri Sembilan. - Foto Mohd Khidir Zakaria

INFO: Spesies karang yang dominan di Port Dickson

- Karang keras: Porites spp., Goniastrea spp., Favites spp dan Favia spp.

- Karang lembut: Sarcophyton spp. 

 

Fakta nombor:

50 meter - Jarak terumbu karang dengan pantai ketika air surut 

500 meter - jarak ketika air pasang 

1 meter - Purata kedalaman terumbu karang ketika air surut

3 meter - Purata kedalaman ketika air pasang

TAMAT

Berita Harian X