Jumaat, 9 September 2016 | 7:33pm

Penguatkuasa perlu tumpu banteras pengedar dadah - Khairy


MENTERI Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin (dua dari kiri) bersama Ketua Pengarah AADK Malaysia, Datuk Dr Abd Halim Mohd Hussin (berdiri belakang) bertanyakan sesuatu kepada penghuni pada Majlis Ramah Mesra bersama Klien Pusat Integrasi Klien (PIK) Besut, Pantai Air Tawar. - Foto Rozainah Zakaria

JERTIH: Penguatkuasa perlu memberi tumpuan menghapuskan pengedar dan penjual dadah jika kerajaan mahu mengatasi masalah penagihan dalam kalangan belia kerana mereka menjadi punca utama kepada masalah sosial.

Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar, berkata jika pengedar dan penjual masih bebas menjalankan kegiatan mereka ia akan menyukarkan kerajaan untuk membasmi masalah penagihan.

Beliau berkata, tanpa pengedar sudah tentu penagih tidak akan mendapat bekalan dan mereka tidak menjadi penagih.

"Kerajaan perlu mengubah strategi dengan menjadikan penagih sebagai pesakit dan perlu diberi rawatan kerana mereka dapat dipulihkan dengan pelbagai kaedah," katanya selepas melawat Pusat Integrasi Klien (PIK) Besut, di Kampung Air Tawar, dekat sini, hari ini.

Hadir sama, Timbalan Ketua Setiausaha Keselamatan Kementerian Dalam Negeri, Datuk Seri Mustafa Ibrahim; Ketua Pengarah Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Malaysia, Datuk Dr Abd Halim Mohd Husin; Ahli Exco Kerajaan Negeri, Datuk Muhamad Pehimi Yusof; Ahli Exco Kerajaan Negeri, Datuk Rozi Mamat.

Khairy berkata, kementeriannya sedia bekerjasama dengan KDN, dan AADK bagi membantu memulihkan penagih dadah dengan menawarkan kursus kemahiran di Institusi Latihan Belia Negara (IKBN) seluruh negara.

Berita Harian X