Jumaat, 9 September 2016 | 7:58pm

TV3, TV9 semarakkan World #QuranHour

SELEBRITI, Datuk Rosyam Nor bersama sukarelawan dan pelajar bergambar selepas berjalan kaki dari Shah Alam pada Kempen "Walk For World #QuranHour" di Universiti Islam Antarabangsa (UIA), Gombak.

KUALA LUMPUR: Stesen Televisyen Media Prima Berhad, TV3 dan TV9, bakal sama-sama mengimarahkan kempen World #QuranHour, Ahad ini.

Tahun ini, World #QuranHour akan dilancarkan pada 9 Zulhijjah 1437 (bersamaan 11 September 2016) di Arafah, Arab Saudi, dan akan disertai oleh warga Islam seluruh dunia termasuk Malaysia.

Kempen terbabit bertujuan mengajak 10 juta ummah di seluruh dunia bersatu dan membaca al-Quran pada waktu yang sama, iaitu pada 9 Zulhijjah 1437, dari jam 9 hingga 10 pagi mengikut waktu tempatan masing-masing.

Di Malaysia, World #QuranHour digerakkan oleh Sinergi Media Malaysia dengan kerjasama semua media cetak dan elektronik negara ini.

TV3 akan mengadakan program siaran langsung World #Quranhour Live @TV3 dari Sri Pentas 2, Shah Alam, sebagai tanda sokongan kepada kempen berkenaan.

Menurut Pengurus Besar Kumpulan, Kumpulan Pengurusan Jenama dan Rancangan TV3 dan TV9, Sherina Nordin, kempen berkenaan bertujuan menyatukan ummah untuk berinteraksi dengan al-Quran.

"Inisiatif ini juga menggalakkan umat Islam menjadikannya sebagai budaya harian dengan membaca, memahami dan mengamal al-Quran," katanya sambil memberitahu, program sejam itu akan dikemudi oleh personaliti, Ally Iskandar Mohd Mardzi.

Katanya juga, orang ramai dijemput hadir ke Studio Sri Pentas 2 untuk bersama-sama menjayakan kempen terbabit.

Mereka hanya perlu membawa sejadah dan al-Quran, selain telekung bagi golongan wanita. Program akan bermula dengan solat Dhuha berjemaah pada jam 8 pagi.

Antara personaliti yang menyertai program siaran langsung itu ialah Azizul Hasni Awang, Achey, Dr Harlina dan Datuk Rosyam Nor. Turut serta ialah finalis Qari Jr 5 iaitu adik Haikal dan juara Da'i musim ketiga, Da'i Hamidah.

Rakyat Malaysia yang menetap di luar negara dan pelajar Malaysia di Perth, Australia, juga akan turut serta menjayakannya menerusi Facebook Live.

Selepas setiap bacaan ayat Al-Quran oleh tetamu, Ustaz Zarifi dan Ustaz Rozie Rejab yang sering diundang sebagai penceramah untuk program televisyen termasuk Al-Kulliyyah akan bertindak memberikan latar belakang surah berserta penerangannya.

Sementara itu dari TV9, Tanyalah Ustaz juga akan disiarkan di TV3 pada jam 8 pagi sebelum kempen bermula. Edisi istimewa program itu akan membawakan tajuk #QuranHour dan dikemudi oleh Ustaz Mohd Asraff Ayob.

Kempen #QuranHour juga kini rancak diperkatakan di laman sosial Facebook World Quran Hour. Orang ramai digalakkan untuk berkongsi dan memuat naik video membaca potongan ayat al-Quran dengan menggunakan hashtag #QuranHour.

Pada Ahad ini juga, bermula jam 9 pagi, orang ramai digalakkan untuk mengaji bersama-sama dan menggunakan #quranhourliveread yang juga akan ditayangkan menerusi program World #Quranhour Live @ TV3.

Berita Harian X