Ahad, 11 September 2016 | 8:03am

TERKINI: 13 maut, 200 cedera gempa di Tanzania

DAR ES SALAAM: Angka korban akibat gempa 5.7 magnitud yang melanda barat laut Tanzania terus meningkat dengan 13 orang maut manakala 203 dilaporkan cedera.

"Angka kematian melonjak dari 11 orang kepada 13 manakala daripada 192 yang cedera kepada 203 orang," kata Pesuruhjaya Daerah Bukoba, Deodatus Kinawilo, pekan paling dekat dengan pusat gempa.

"Ketika ini keadaan tenang dan terkawal. Beberapa mangsa sudah dibenar keluar dari hospital. Kita tidak menjangkakan ada lagi mangsa cedera," kata Kinawilo yang dihubungi menerusi telefon.

Residen Bukoba sebelum ini berkata, beberapa rumah penduduk ranap manakala Ketua Polis Wilayah Kagera, Augustine Ollomi berkata, operasi menyelamat sedang digiatkan.

Gegaran gempa berkenaan turut dirasai beberapa negara jiran berhampiran iaitu Rwanda, Burundi, Uganda dan Kenya, lapor Agensi Kajian Geologikal Amerika Syarikat (USGS).

"Dinding rumah saya bergegar, sama dengan peti sejuk dan almari," kata wakil AFP di Kampala, ibu negara Uganda.

Pusat gegar gempa direkod di 25 kilometer di timur bandar Nsunga, berhampiran sempadan Tasik Victoria. - AFP

Berita Harian X