Ahad, 11 September 2016 | 11:23am

Al-Quran jadi tumpuan umat Islam pada World #QuranHour


LEBIH 3,000 orang membaca Al-Quran sempena Program World #QuranHour di Masjid Sultan Ahmad Shah Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), hari ini. - Foto Abdullah Yusof

KUALA LUMPUR: Selama sejam hari ini umat Islam di seluruh dunia dalam semangat penyatuan ummah mengalunkan ayat-ayat suci Al-Quran sempena Program World #QuranHour yang julung kali diadakan.

Titik tumpu acara itu di Masjid Sultan Ahmad Shah Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) disertai lebih 3,000 orang ketika umat Islam yang menunaikan haji berhimpun di Padang Arafah pada hari wukuf 9 Zulhijjah.

Penasihat Sosio Budaya Kerajaan, Tan Sri Dr Rais Yatim, yang juga pengerusi UIAM, berkata program itu memperlihatkan cantuman jiwa umat Islam di seluruh dunia dalam mengagungkan kalam Allah itu.

"Berkumpul kita di UIAM menandakan corak kemasyarakatan Islam. Acara ini tak dapat dibandingkan dengan kegiatan lain. Marilah kita bersama-sama terus perkukuh insaniah dan ketepikan perbezaan," katanya ketika berucap pada majlis bermula 9 pagi itu.

Rais kemudian membacakan surah al-Fatihah bagi memulakan program World #QuranHour disusuli bacaan surah al-Baqarah oleh Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) Tan Sri Othman Mustapha. - BERNAMA

Berita Harian X