Ahad, 11 September 2016 | 11:55am

4,000 sertai World #QuranHour di UIA


ORANG ramai membaca Al-Quran sempena Program World#QuranHour di Masjid Sultan Ahmad Shah Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), hari ini. - Foto Abdullah Yusof

GOMBAK: Masjid Sultan Ahmad Shah, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) di sini bergema dengan bacaan ayat suci al-Quran oleh kira-kira 4,000 umat Islam yang berkumpul menerusi program WORLD#QuranHour, hari ini.

Orang ramai dilihat mula berkumpul kira-kira jam 7.30 lagi untuk menyertai program anjuran Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (YWUI) yang diadakan sempena hari wukuf jemaah haji di Padang Arafah.

Acara bacaan ayat suci al-Quran bermula jam 9.20 pagi yang dimulakan dengan bacaan surah Al-Fatihah oleh Presiden Universiti Islam Antarabangsa (UIA), Tan Sri Dr Rais Yatim.

Yang turut hadir, Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Tan Sri Othman Mustapha; Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali; Pengasas YWUI, Datuk Dr Hussamuddin Yaacub; dan Rektor UIAM, Prof Datuk Seri Dr Zaleha Kamaruddin.

Turut serta, penyanyi, Datuk Nash atau Nashrudin Elias; pelakon era 80-an, Datuk Seri Shah Rezza, Mark Adam dan Aida Rahim.

WORLD#QuranHour adalah kesinambungan inisiatif sejak 2013 menerusi Program #AktifkanRumahNgaji yang kini memiliki 1,000 pusat di seluruh negara yang menawarkan pengajian al-Quran percuma.

 

Berita Harian X