Ahad, 11 September 2016 | 1:23pm

Malaysia ada peluang tambah emas - Khairy

KUALA LUMPUR: Kontinjen Malaysia berpeluang menambah satu lagi pingat emas di temasya Sukan Paralimpik Rio de Janeiro, Brazil selepas mengutip dua emas, setakat ini.

Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar menerusi laman Twitternya menyuarakan keyakinan seorang lagi atlet olahraga negara, Abdul Latif Romli berpeluang meraih kejayaan sama dilakar Mohamad Ridzuan Mohamad Puzi dan Muhammad Ziyad Zolkefli, hari ini.

Abdul Latif adalah pembawa bendera negara, Jalur Gemilang pada majlis pembukaan Paralimpik di Rio.

"We are not done yet! Latif will #GoForGold 9.30pm Malaysia time for Gold number 3. #KamiLuarBiasa #MalaysiaBoleh," tulis Khairy.

Abdul Latif, 19 yang beraksi dalam acara lompat jauh adalah pemenang pingat emas di Kejuaraan Olahraga Dunia ICP di Doha, Qatar tahun lalu dengan catatan 7.35 meter.

Ia kemudian diperbaharui olehnya di temasya Sukan Malaysia Sarawak 2016 dengan catatan 7.46 meter.

Malaysia setakat ini sudah meraih dua pingat emas menerusi atlet pecut Mohamad Ridzuan memenangi emas dalam acara 100m T36 lelaki (cerebral palsy).

Ia diikuti kejayaan atlet lontar peluru, Muhammad Ziyad Zolkefli dengan kejayaan kedua-duanya melakar sejarah kerana negara tidak pernah memenangi pingat emas di temasya terbesar itu setakat ini.

Lebih membanggakan, kedua-dua pingat itu turut mencipta rekod dunia dan rekod paralimpik.

Berita Harian X