Isnin, 12 September 2016 | 12:04am
NURUL Shakila Mohd Khoriri lebih dikenali sebagai Syakila Khoriri. - Foto Halimaton Saadiah Sulaiman
SYAKILA Khoriri membina nama dalam kepayahan. - Foto Halimaton Saadiah Sulaiman
SYAKILA Khoriri terjun dalam dunia lakonan sejak 10 tahun lalu. - Foto Halimaton Saadiah Sulaiman

Angkara rakan, Shakilla Khoriri derita dua tahun



SATU persatu dugaan menghimpit pelakon cantik, Shakilla Khoriri, 27, sejak mula terjun dalam dunia lakonan, kira-kira 10 tahun lalu.

Dalam kepayahan mencipta populariti, Shakilla atau nama sebenarnya, Nurul Shakilla Mohd Khoriri, diuji apabila mendakwa dirinya pernah terkena 'buatan orang'.

Selama dua tahun menderita, Shakilla mencuba pelbagai cara bukan saja untuk memulihkan diri, malah semangat yang kian rapuh ketika rakan lain gah mencipta kemasyhuran.

Memberi alasan sakit, Shakilla 'menghilangkan' diri bagi mencari penawar daripada pengamal perubatan tradisional atas kesakitan yang tidak tertanggung.

"Memang benar, saya baru sembuh daripada 'sakit'. Saya tidak tahu secara tepat bila terkena 'serangan' itu.


SYAKILA Khoriri mengakui kini rapat dengan seorang penyampai radio. - Foto Halimaton Saadiah Sulaiman

"Namun, sudah lama saya 'dihantar' benda khurafat dan syirik ini. Dua tahun saya tidak berlakon gara-gara 'buatan orang' ini. Pada mulanya, saya sendiri tak mahu percaya dan anggap ia sakit biasa," luah Shakilla kepada BH Plus.

Terus berkongsi kisah derita, Shakilla memberitahu, kesan daripada 'buatan orang' cukup besar hingga dirinya menjadi malas untuk bekerja.

"Saya hanya mahu duduk di rumah. Bayangkan telinga saya tiba-tiba boleh keluar semut. Memang pelik melihat katil saya tiba-tiba ada semut, sedangkan tidak pernah tumpah makanan manis di situ.

"Saya juga mengalami keadaan di mana keluar darah hitam berkarat ketika datang haid.

"Banyak duit habis digunakan untuk berubat ke sana ke mari. Saya reda dan anggap itu ujian yang cukup berat untuk ditanggung," katanya yang sering ditawarkan watak antagonis ini.


SYAKILA Khoriri reda dengan apa yang berlaku dan tidak berdendam. - Foto Halimaton Saadiah Sulaiman

Dicemburui teman artis

Ditanya apakah mungkin dirinya menjadi mangsa teman artis yang cemburu dengan kejayaannya, Shakilla sebenarnya enggan mengambil tahu soal itu.

"Saya tak mahu ambil tahu siapa yang buat kerja jahat itu. Saya hanya nak sihat dan terus bekerja. Saya bekerja untuk bantu menyenangkan keluarga," katanya.

Diasak pertanyaan sama, Shakilla memberitahu, ketika berubat, dia ada dimaklumkan individu yang disyaki melakukan angkara itu.

"Paling menyedihkan dan kalau boleh, saya tak mahu kenang langsung. Namun, individu yang dikatakan melakukan perkara ini adalah teman pelakon sendiri.

"Saya tidaklah rapat dengannya. Tetapi masa berlakon bersama, dia memang layan saya dengan baik. Malah, ketika sakit, dia tiba-tiba bertanya keadaan saya. Mungkin juga dia nak tahu sama ada 'benda' yang dihantar itu berjaya atau sebaliknya.


ANGKARA buatan rakan sendiri, Syakila Khoriri, derita selama dua tahun. - Foto Halimaton Saadiah Sulaiman

"Saya kurang pasti apa motif dirinya. Buat apa berdengki dengan saya, saya bukan popularpun," katanya,

Biarpun menderita, Shakilla enggan menyimpan dendam terhadap sesiapa termasuk individu terbabit.

"Saya bukan pendendam. Jika menemui ajal sekalipun, saya tetap maafkan dia. Ikutkan hati hendak tunggu juga dia mengaku. Tapi tak apalah, apa yang lebih utama, saya sihat dan boleh bekerja," kata anak kedua daripada empat beradik itu.

Mengenai kelangsungan kerjaya seninya, Shakilla sedar dirinya bukanlah dikenali ramai.

"Namun, ada juga pihak yang kenal dan mengikuti perkembangan saya dari awal berlakon hinggalah sekarang.

"Drama Adam dan Hawa di mana saya berlakon sebagai adik kepada Nadiya Nisaa antara yang memberi impak. Watak itupun diperoleh selepas tujuh tahun saya berkecimpung dalam dunia seni," katanya.

Dalam pada itu, Shakilla mengaku rapat dengan penyampai radio Suria FM, Fizi Ali, dan kini kedua-duanya sedang merancang untuk ke fasa perkahwinan.

138 dibaca
Berita Harian X