Isnin, 12 September 2016 | 9:50am

Rancang belanja hadiah ganjaran - Latif Romly


ABDUL Latif Romly. - REUTERS

KUALA LUMPUR: Pemenang pingat emas ketiga negara di Sukan Paralimpik Rio, Abdul Latif Romly mempunyai perancangan bagi membelanjakan hadiah wang kemenangan RM1 juta yang bakal diterimanya nanti.

"Mungkin saya akan simpan, buat rumah dekat kampung di Perlis dan mahu menghantar mak dan ayah (mengerjakan) umrah... Insya-Allah," kata Latif yang catatan 7.60 meter dilakukannya dalam acara lompat jauh T20 (masalah pembelajaran) turut memecahkan rekod dunia, semalam.

Atlet berusia 19 tahun dari Kangar, Perlis itu melakukan catatan itu pada lompatan kelima di Stadium Olimpik Rio de Janeiro dan cukup bagi memadam rekod lama 7.35m yang dilakukannya sendiri di Kejohanan Olahraga Dunia IPC di Doha, Qatar tahun lalu.

Catatannya itu juga memadam rekod Sukan Paralimpik yang dipegang atlet dari Sepanyol, Jose Antonio Exposito iaitu sejauh 7.25m.

Sebelum ini, pemberian Skim Hadiah Kemenangan Atlet (SHAKAM) yang diterima atlet normal dan paralimpik adalah berbeza, namun Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin mahu hak sama rata diberikan.

Pengumuman Khairy pada tahun 2013 itu bermakna atlet paralimpik negara yang menyertai temasya Paralimpik akan menerima insentif RM1 juta sekiranya meraih pingat emas, RM300,000 untuk perak dan RM100,00 bagi gangsa.

Mengulas mengenai rekod dunia baharu yang diciptanya, Latif berkata: "Syukur, sangat gembira dapat emas dan memecahkan rekod dunia.

"Emas ini untuk keluarga, jurulatih dan rakyat Malaysia. Terima kasih buat rakyat Malaysia yang mendoakan kejayaan ini.

"Saya berpuashati (pecah rekod dunia)... saya ada meletak sasaran 7.60m dan alhamdulillah dapat," katanya.

11 dibaca
Berita Harian X