Isnin, 12 September 2016 | 11:17am

Pengalaman di Aragon mampu bantu Super KIP

PELUMBA Moto3 Honda Team Asia, Khairul Idham Pawi. - Foto EPA
PELUMBA Moto3 Honda Team Asia, Khairul Idham Pawi. - Foto EPA

KUALA LUMPUR: Pengalaman berlumba di Litar Aragon, Sepanyol mahu digunakan sebaiknya oleh pelumba Moto3 Honda Team Asia, Khairul Idham Pawi pada saingan Kejuaraan Motosikal Dunia (MotoGP) di Grand Prix (GP) Aragon, 25 September ini.

Khairul Idham yang membuat penampilan pertama di Moto3 musim ini pernah berlumba di litar sama dalam kancah Kejuaraan CEV Repsol dengan penamat terbaiknya di tangga keenam, tahun lalu.

Justeru, pengalaman dimiliki itu bakal membantunya untuk mengharungi perlumbaan pusingan ke-14 selepas beberapa kali gagal menamatkan saingan di kedudukan terpuji dalam pusingan sebelum ini.

"Daripada sudut pengalaman, saya pernah berlumba di Aragon sebelum ini," kata Khairul Idham yang melakar sejarah menjuarai perlumbaan Moto3 di GP Argentina dan Jerman, tahun ini.

"Namun bagi saya litar ini sedikit sukar, jadi saya berharap dapat beraksi dengan lebih baik dalam tempoh dua minggu akan datang."

Semalam, Khairul Idham menamatkan perlumbaan Moto3 GP San Marino di tangga ke-22 di hadapan rakan senegara dari pasukan Drive M7 SIC, Adam Norrodin.

Khairul Idham atau dikenali sebagai Super KIP mencatat 40 minit 12.965 saat untuk berada di kedudukan itu manakala Adam, 40'13.023s.

"Saya cuba mengejar kelompok pelumba tetapi sukar kerana tayar belakang banyak menyasar di selekoh. Saya tidak mahu terbabas lagi kerana saya sudah banyak terbabas dalam beberapa perlumbaan.

"Jadi saya mengambil keputusan untuk menamatkan perlumbaan dan mendapatkan lebih banyak pengalaman," katanya.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X