Isnin, 12 September 2016 | 9:01pm

Safawi mahu bawa T-Team ke separuh akhir


SAFAWI bertekad untuk memastikan T-Team meneruskan rentak cemerlang bertemu FELDA United dalam aksi suku akhir kedua Piala Malaysia. - Foto Aswadi Alias

KUALA TERENGGANU: Pemain kebangsaan, Muhammad Safawi Rasid bertekad untuk memastikan T-Team meneruskan rentak cemerlang bertemu FELDA United dalam aksi suku akhir kedua Piala Malaysia di Stadium Tun Abdul Razak, Jengka, Sabtu ini.

Pemain sayap kiri berusia 19 tahun itu berkata, kemenangan 3-2 ke atas naib juara Liga Super Sabtu lalu menambah keyakinan buat The Titans.

"Kejayaan mengatasi FELDA United, Sabtu lalu hasil kerja keras dan semangat juang rakan sepasukan untuk meraih kemenangan.

"Kemenangan ini bukan saja mengekalkan pasukan dalam Liga Super musim depan, malah memberi suntikan moral untuk menghadapi suku akhir kedua di Jengka, Sabtu ini," katanya.

Penjaring gol pada aksi suku akhir pertama itu berkata, jika rakan sepasukan mengekalkan aksi konsisten seperti perlawanan tempoh hari, peluang pasukannya mara tampak cerah.

Katanya, dia yakin taktikal yang dipertaruhkan ketua jurulatih, Rahmad Darmawan mampu merakamkan kemenangan untuk mara ke separuh akhir.

"Jika dilihat prestasi semasa pasukan, peluang kita untuk meraih kemenangan ke atas FELDA United di stadium keramat mereka masih ada.

"Saya akui FELDA United memiliki sedikit kelebihan jaringan gol di tempat lain, namun kami akan berusaha untuk mengatasi situasi itu dengan memburu gol awal," katanya.

Pada aksi suku akhir pertama di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah pada 28 Ogos lalu, T-Team dan FELDA United mencatatkan seri 1-1.

Berita Harian X