Selasa, 13 September 2016 | 8:19pm
MANGSA kemalangan maut di Jalan Pelabuhan Barat dibantu orang awam.

Lelaki maut terlanggar belakang treler rosak

PELABUHAN KLANG: Seorang lelaki maut selepas motosikal yang ditunggangnya melanggar sebuah treler rosak dalam kemalangan di Jalan Pelabuhan Barat, di sini, pagi tadi.

Dalam kejadian jam 7 pagi itu, mangsa, Dion Assing, 33, meninggal di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala.

Ketua Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Klang Selatan, Deputi Superitendan Md Dom Dollah, berkata berdasarkan maklumat orang awam, kejadian dipercayai berlaku apabila mangsa yang menunggang motosikal Yamaha FZ 150, menghala ke Westport gagal mengelak sebuah treler yang diletakkan di bahagian kiri jalan.

Katanya, mangsa tidak menyedari lori treler berkenaan mengalami kerosakan akibat tayar pecah kerana tiada sebarang tanda isyarat kecemasan diletakkan, menyebabkan lelaki itu melanggar bahagian belakang kanan treler terbabit.

"Akibat dari perlanggaran itu, mangsa yang berasal dari Sabah mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan meninggal dunia di tempat kejadian.

"Pemandu treler berusia 31 tahun bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan. Mayat mangsa dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), untuk bedah siasat," katanya kepada BH. Md Dom berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

107 dibaca
Berita Harian X