Jumaat, 16 September 2016 | 12:05am
RAHA berharap lebih banyak syarikat korporat serta usahawan tempatan lain terutama Bumiputera, tampil membantu pelajar Malaysia yang berdepan masalah kewangan. - Foto Muhammad Zuhairi Zuber

Kesulitan pelajar Malaysia di Mesir dapat perhatian


ALOR GAJAH: Kesulitan seorang pelajar perubatan tahun akhir dari Universiti Zagazig, Mesir, yang berdepan penyingkiran kerana tunggakan yuran RM64,000 menarik simpati pemilik sebuah syarikat tempatan untuk menaja pengajiannya.

Tawaran diberikan kepada Ahmad Azim Maskury, 24, dari Kota Bharu, Kelantan itu, dibuat dengan syarat sedia berkhidmat sebagai doktor klinik berkonsep Islamik, yang bakal dibuka pemilik syarikat terbabit di Kuala Lumpur, tahun hadapan.

Jurucakap HM Holdings (M) Sdn Bhd, Raha Radzi, 40, berkata pemilik syarikat yang enggan namanya dikenali itu, terpanggil membantu Ahmad Azim, sebaik kisahnya bersama beberapa lagi pelajar cemerlang Malaysia dipaparkan BH, semalam.

"Apabila membaca kisah Ahmad Azim dalam BH, hamba Allah ini berhasrat menaja sepenuhnya pengajian pelajar itu dengan syarat sedia berkhidmat untuk tempoh tertentu sebagai doktor di klinik berkonsep Islamik yang akan dibuka syarikatnya tahun depan.

"Kami akan segera berhubung dengan Ahmad Azim. Sekiranya semua syarat dipersetujui, kami akan menaja penerbangannya pulang ke tanah air untuk perbincangan lanjut serta tawaran kontrak.


JURUCAKAP HM Holdings (M) Sdn Bhd, Raha Radzi. - Foto Muhammad Zuhairi Zuber

PELAJAR perubatan tahun akhir Universiti Zagazig, Ahmad Azim Maskury.

"Menerusi pertemuan itu, kami mahu mendapatkan maklumat lanjut termasuk kemungkinan mengambil (tajaan) tiga atau empat lagi (pelajar) sebagai doktor di klinik baharu nanti," katanya ditemui BH di Universiti Teknologi MARA (UiTM) Lendu, di sini, semalam.

Raha yang juga Pensyarah Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media UiTM itu, memaklumkan beliau turut mendapat tajaan syarikat itu bagi melanjutkan pengajian peringkat Doktor Falsafah (PhD) di UiTM Shah Alam.

Beliau berkata, jutawan berusia 50-an yang juga anak kelahiran negeri di utara tanah air itu, memiliki empayar perniagaan dalam dan luar negara, merangkumi sektor perhotelan, pelancongan serta akan membuka sebuah yayasan bagi membantu golongan memerlukan termasuk ibu tunggal dan golongan kurang upaya (OKU).

Masa sama, Raha berharap lebih banyak syarikat korporat serta usahawan tempatan lain terutama Bumiputera, tampil membantu pelajar Malaysia yang berdepan masalah kewangan, seterusnya menawarkan insentif untuk kebaikan kedua-dua pihak.

"Tawaran ini diberikan jutawan ini adalah inisiatif membantu mereka (pelajar) sebagai aset negara. Ini adalah sebahagian daripada usaha membantu anak bangsa serta pelajar cemerlang yang wajar diberikan bantuan," katanya.


KERATAN muka depan akhbar BH semalam.

KERATAN akhbar BH semalam berkenaan Ahmad Azim.

Semalam, BH melaporkan Ahmad Azim adalah di antara 150 pelajar cemerlang Malaysia tanpa tajaan atau pembiayaan pendidikan dalam bidang perubatan, pergigian dan farmasi dari lapan universiti di Mesir, berdepan penyingkiran daripada pengajian, susulan tunggakan yuran mencapai RM4.5 juta.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Pendidikan dan Pengajian Tinggi Kelantan, Datuk Dr Mohamed Fadzli Hassan, berkata pihaknya akan mendapatkan maklumat lanjut daripada Pegawai Kebajikan Pelajar Kelantan di Mesir, berhubung jumlah anak negeri itu yang berdepan masalah pengajian masing-masing.

"Setakat ini, kita tidak menjanjikan apa-apa, namun akan meneliti kes ini untuk melihat bentuk bantuan yang boleh disalurkan kepada pelajar berkenaan," katanya.


PENGERUSI Jawatankuasa Pembangunan Insan, Pendidikan dan Pengajian Tinggi Kelantan, Datuk Dr Mohamed Fadzli Hassan. - Foto Owee Ah Chun

SUKARELAWAN Projek Hope.

INFO:

  • RM32,000 nilai yuran pengajian setahun
  • 150 pelajar persendirian
  • RM64,000 nilai tunggakan yuran pengajian Ahmad Azim.
Berita Harian X