Jumaat, 16 September 2016 | 10:25am

Polis New York tembak suspek lelaki 18 kali


LOKASI kejadian polis New York melepaskan 18 tembakan yang menumbangkan lelaki bersenjatakan pisau pemotong daging yang mencederakan seorang detektif di Manhattan. - Foto REUTERS/https://www.rt.com/usa

NEW YORK: Polis New York melepaskan 18 tembakan sebelum dapat menumbangkan lelaki bersenjatakan pisau pemotong daging yang mencederakan seorang detektif di Manhattan.

Tindakan ganas jarang berlaku di waktu siang di Manhattan yang menyaksikan kadar jenayah paling rendah dalam rekod selepas berdekad menguatkuasakan undang-undang secara tegas.

Menurut polis, suspek dikejar sejurus selepas jam 5.00 petang berikutan laporan jenayah, Namun polis tidak menolak keganasan sebagai satu kemungkinan.

"Pada masa ini, laporan awal adalah kesalahan jenayah. Sebagai sebahagian siasatan kami, tiada yang diketepikan," kata Ketua Jabatan, James O'Neill, yang dijangka mengambil alih jawatan sebagai Ketua Polis New York.

Akram Joudeh, 32, cuba menanggalkan kunci tayar pada keretanya tidak jauh dari Stesen Penn tetapi melarikan diri daripada anggota polis selepas mengeluarkan pisau pemotong daging sepanjang 28 sentimeter dari ikatan di pinggangnya.

Cubaan awal menembaknya dengan senjata renjat gagal. Apabila dia menuju ke arah kereta polis, seorang detektif berpakaian awam cuba menahannya.

Pegawai terbabit mengalami luka 15 sentimeter di rahang yang membuatkan anggota polis melepaskan 18 das tembakan.

Suspek dalam keadaan kritikal tetapi stabil di hospital, manakala detektif berkenaan dalam keadaan serius tetapi dua anggota polis lain mengalami kecederaan yang tidak mengancam nyawa.

Ditanya wartawan sama ada perlu melepaskan 18 tembakan di kawasan sibuk, O'Neill menjawab:

"Perlu ingat yang suspek baru menyerang seorang pegawai polis sehingga mengalami luka sepanjang 15 sentimeter dan memilik senjata sepanjang 28 sentimeter." - AFP

Berita Harian X