Jumaat, 16 September 2016 | 10:40am

Saharul, Deena Emir selamat diijab kabul


Saharul Ridzwan Hashim bersama isteri Qabilaa Deena Emir Mohamad Akif Emir.

PUTRAJAYA: Dengan sekali lafaz, pelakon Saharul Ridzwan Hashim selamat bergelar suami kepada pemilik butik, Qabilaa Deena Emir Mohamad Akif Emir dalam majlis pernikahan yang berlangsung di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, di sini jam 9 pagi tadi.

Pasangan ini dinikahkan bapa pengantin perempuan dalam majlis tertutup yang dihadiri keluarga dan rakan terdekat sahaja.

Pada majlis itu, Saharul, 27 menyerahkan mas kahwin sebanyak RM3oo berserta lima dulang dan dibalas dengan tujuh dulang daripada pihak perempuan. Bagaimanapun jumlah hantaran dirahsiakan.

Usai majlis akad nikah dilangsungkan, pelakon drama bersiri Seindah Takdir Cinta ini meluahkan perasaan gembira dan lega apabila majlis yang dirancang berjalan dengan lancar.

"Alhamdulillah, hari ini bermulalah satu fasa dalam hidup saya dan saya sendiri tidak sabar untuk memikul tanggungjawab dan amanah ini dengan sebaik-baiknya," katanya.

Sementara itu, pengantin perempuan yang lebih dikenali sebagai Deena Emir mengharapkan moga mahligai yang dibina ini akan kekal hingga ke akhir hayat.

"Semoga limpah berkat dan rahmat sentiasa memayungi perkahwinan kami," ujar wanita berusia 28 tahun ini.

Majlis resepsi pasangan ini akan diadakan di Dewan Sri Siantan, Putrajaya petang ini.

Pasangan ini mula berkenalan empat tahun lalu dan Januari tahun ini mereka mengambil keputusan untuk mendirikan rumah tangga.

Berita Harian X