Jumaat, 16 September 2016 | 12:11pm

Bernhardt puas hati aksi skuad B-19 negara


JURULATIH Skuad B-19 Malaysia, Frank Bernhardt.

KUALA LUMPUR: Kejayaan skuad bawah 19 tahun (B-19) negara meneruskan rentak kemenangan dalam kempen Kejuaraan AFF B-19 2016 mendapat pujian daripada pengendalinya, Frank Bernhardt.

Skuad B-19 Malaysia meraih kemenangan kedua berturut-turut pada kejohanan terbabit selepas menumpaskan Singapura 2-1 di Stadium Hang Day, Hanoi, petang semalam.

Selasa lalu, pada aksi pembukaan yang berlangsung di stadium sama menyaksikan skuad Bernhardt membelasah Filipina 5-0.

"Pada perlawanan kedua ini, saya berpuas hati dengan persembahan pasukan terutama pada 30 minit pertama separuh masa pertama.

"Barisan pemain melaksanakan taktik seperti yang kita rancang, mempamerkan aksi yang mantap dan berjaya menjaringkan gol," kata Bernhardt.

Pada perlawanan petang semalam, skuad B-19 negara mendominasi aksi di awal permainan dan membuka tirai jaringan pada minit ke-16 menerusi rembatan jarak jauh pemain sayap kiri, Zarulizwan Mazlan.

Jafri Firdaus Chew kemudian mengukuhkan kedudukan dengan jaringan kedua pada masa kecederaan babak pertama dan Singapura memperoleh gol tunggal menerusi Syahrul Sazali, lapan minit sebelum perlawanan tamat.

Kemenangan kedua berturut-turut itu menyaksikan Malaysia kekal di tangga kedua Kumpulan A dengan enam mata di belakang pendahulu, Vietnam yang mengumpul tujuh mata.

Malaysia yang kurang satu perlawanan berbanding Vietnam akan berdepan Timor Leste, esok.

Berita Harian X