Jumaat, 16 September 2016 | 12:57pm

42 pasangan diijab kabul serentak


PENGERUSI Jawatankuasa Agama Islam, Pendidikan Islam dan Pembangunan Sahsiah Negeri, Datuk Mohd Nizar Zakaria (kanan) menjadi wakil kepada wali pasangan pengantin ketika program Majlis Nikah Jama'ie Syari'e Peringkat Negeri Perak 2016 di Masjid Sultan Yussuf Izzudin Shah, Seri Iskandar.

SERI ISKANDAR: Sebanyak 42 pasangan dinikahkan serentak menerusi program Majlis Nikah Jama'ie Syari'e Peringkat Negeri Perak 2016 di Masjid Sultan Yussuf Izzudin Shah, di sini, sebentar tadi.

Program anjuran Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) dengan kerjasama Pejabat Agama Islam Seri Iskandar itu bermula jam 10 pagi dengan bacaan khutbah nikah disampaikan oleh Ketua Pendaftar Perkahwinan, Penceraian, Rujuk Orang Islam Negeri Perak, Zakaria Abd Razak, disusuli dengan majlis ijab dan kabul.

Pengerusi Jawatankuasa Agama Islam, Pendidikan Islam dan Pembangunan Sahsiah negeri, Datuk Mohd Nizar Zakaria merasmikan majlis berkenaan dan turut menjadi wakil kepada wali menikahkan satu daripada pasangan pengantin. Yang turut hadir, Pengarah JAIPk, Datuk Mohd Yusop Husin.

Pasangan pengantin berusia 19 hingga 50 tahun itu turut menunaikan solat sunat sebelum meneruskan acara penyerahan mas kahwin serta majlis penyerahan tanggungjawab oleh wali dan penerimaan tanggungjawab oleh pengantin lelaki.

Semua pasangan pengantin kemudian diarak ke dewan jamuan makan untuk majlis makan beradab di pekarangan masjid.

Selepas solat Jumaat pula satu konvoi akan membawa pasangan pengantin ke sebuah hotel berdekatan sebelum meneruskan majlis resepsi yang akan diadakan di Dewan Universiti Teknologi MARA (UiTM) Seri Iskandar di sini pada malam nanti.

17 dibaca
Berita Harian X