Jumaat, 16 September 2016 | 6:52pm

Tumpahan diesel atas jalan, 3 kereta terbabas


SEBUAH kereta terbabas berpunca daripada permukaan jalan licin akibat tumpahan minyak di Lebuh Raya Pasir Gudang, berhampiran susur Jalan Besar di sini, pagi tadi. - Foto Bomba Johor

JOHOR BAHRU: Tiga kenderaan terbabit dalam kemalangan disebabkan tumpahan minyak diesel di Lebuh Raya Pasir Gudang, berhampiran susur Jalan Besar di sini, pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintendan Jokhiri Abd Aziz, berkata kemalangan jam 7.40 pagi itu   bagaimanapun tidak membabitkan sebarang kemalangan jiwa. 

Katanya, kemalangan berlaku berpunca daripada permukaan jalan licin akibat tumpahan minyak namun sehingga ini belum ada pihak tampil bertanggungjawab.

"Akibat jalan yang licin disebabkan tumpahan diesel, sebuah kereta terbabas sebelum merempuh sebuah tiang dipercayai papan tanda di tepi jalan. 

"Dua lagi kenderaan dipercayai bertembung mengakibatkan kerosakan di bonet dan but kereta masing-masing," katanya.

Beliau berkata, tumpahan minyak itu sudah dibersihkan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Pasir Gudang menggunakan habuk kayu dan selamat digunakan oleh semua pengguna jalan raya.


ANGGOTA bomba menggunakan habuk kayu dalam kerja pembersihan berhampiran susur Jalan Besar di sini, pagi tadi. - Foto Bomba Johor

Berita Harian X