Sabtu, 17 September 2016 | 12:08am

Bersenam untuk tangani darah tinggi

PENYAKIT hipertension atau tekanan darah tinggi boleh dicegah menerusi amalan gaya hidup lebih sihat dengan bersenam, diet mengurangkan garam dan menurunkan berat badan.

Kajian membuktikan senaman berupaya mencegah tekanan darah tinggi dan menurunkan tekanan darah tanpa perlu memakan ubat sekiranya dilakukan dalam tempoh enam bulan.

Pensyarah Kesihatan Masyarakat dan Senaman, Hospital Canselor Tuanku Muhriz, Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (HCTM PPUKM), Dr Ahmad Taufik Jamil, berkata dengan bersenam saja boleh menurunkan tekanan darah sekurang-kurangnya lima hingga 10 milimeter merkuri Hydrargyrum (mm hg).

Senaman berkenaan kata beliau, sangat berkesan bagi mengurangkan tekanan darah dan boleh turun lebih banyak sekiranya mengamalkan pemakanan sihat iaitu kurang garam dan menurunkan berat badan.

Tidak perlu makan ubat

"Bersenam, menjaga diet dan mengurangkan berat badan yang dilakukan dalam tempoh enam bulan, membolehkan pesakit tidak perlu memakan ubat darah tinggi," katanya.

Dr Ahmad Taufik berkata, sekiranya sistolik dapat diturunkan sebanyak 20 mm HG atau diastolik dikurangkan sebanyak 10 mmHG, risiko kematian akibat darah tinggi juga boleh dikurangkan sehingga 50 peratus.

Sekiranya tekanan darah kurang daripada 160/100 mm HG, pesakit perlu makan ubat tetapi sekiranya kurang tetapi tekanan darah masih tinggi, pesakit perlu diberi peluang mengubah gaya hidup selama enam bulan.

Senaman baik untuk sistem saraf

"Senaman memberikan kesan ke atas saraf simpatatik apabila denyutan darah menurun sekaligus menurunkan tekanan darah apabila salur darah mengembang.

"Tahap hormon adrenalin juga lebih terkawal dan menurun apabila bersenam serta meningkatkan sensitiviti insulin bagi pesakit diabetes," katanya.

Senaman juga membantu mengawal tekanan darah akibat jantung kurang berfungsi (disfungsi sistolik).

INFO:

Tempoh senaman: 30 minit sehingga satu jam-satu sesi

Jenis senaman untuk menurunkan tekanan darah tinggi:

1. Senaman ketahanan - Berjalan biasa, berjalan laju, berlari dan mengayuh basikal

2. Latihan kekuatan - Dumbell, Bar Bell atau mesin mengangkat berat

TIP:

Tiada penyakit lain

- Bersenam secara sederhana (berjalan dan kayuh basikal pada kelajuan sederhana)

- 150 hingga 300 minit seminggu

Ada penyakit lain:

- Berlari, mengayuh basikal pada kelajuan tinggi

- 150 hingga 300 minit seminggu.

- Ketika mengangkat berat, jangan tahan nafas (tekanan darah akan meningkat apabila tekanan dalam badan meningkat)

- Sekiranya ada penyakit jantung, jangan buat senaman di lapangan.

- Bersenam ikut kemampuan.

Jangan bersenam sekiranya:

- Tekanan darah mencecah 200/110 mm hg

- Tekanan darah bawah 180/105

Berita Harian X