Sabtu, 17 September 2016 | 11:10am

KPT hantar pegawai ke Mesir

KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) akan menghantar pegawai ke Mesir bagi mendapat gambaran penuh isu dihadapi pelajar Malaysia di sana.

KPT, dalam satu kenyataan di sini, menyatakan rombongan akan diketuai oleh Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan), Datuk Kamel Mohamed.

Menurutnya, rombongan akan mengesahkan maklumat pelajar yang memerlukan bantuan berikutan menghadapi masalah pembiayaan pengajian seperti dilaporkan baru-baru ini.

"Kami harap universiti mereka dapat menyelaraskan kadar hutang ditanggung pelajar berkenaan dengan segera.

"Kementerian akan terus memberi maklum balas," menurut kenyataan itu.

Kira-kira 150 pelajar Malaysia di lapan universiti di Mesir mendakwa bakal disingkir selepas dikatakan menanggung hutang yuran berjumlah RM4.5 juta.

Mereka berdepan hutang kerana tidak mendapat tajaan atau pembiayaan pendidikan ketika tempoh pembelajaran di Mesir, merangkumi pelajar jurusan perubatan, pergigian dan farmasi yang bergantung sepenuhnya kepada keluarga untuk membayar yuran pengajian serta menampung kos sara hidup.

Persatuan Pelajar-pelajar Sains Kesihatan Malaysia-Mesir (Perubatan) dilaporkan merayu bantuan pihak kerajaan agar tampil meringankan beban kumpulan pelajar terbabit.

Berita Harian X