Sabtu, 17 September 2016 | 5:21pm
NAIB Canselor Universiti Malaysia Pahang (UMP), Prof Datuk Dr Daing Nasir Ibrahim. - Foto Zulkepli Osman

UMP lulus biasiswa RM400,000 untuk pelajar layak

gn4id:16114476

KUANTAN: Universiti Malaysia Pahang (UMP) meluluskan biasiswa berjumlah RM400,000 kepada pelajar berkelayakan menerusi program MyGift yang akan dilancarkan 1 Oktober ini.

Naib Canselornya, Prof Datuk Dr Daing Nasir Ibrahim, berkata biasiswa berkenaan diluluskan Lembaga Pemegang Amanah MyGift dan kumpulan pertama pelajar akan menerima surat tawaran pada pelancaran MyGift yang dijangka disempurnakan Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah.

"Ketika ini, Jabatan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni UMP mengenal pasti pelajar untuk menerima biasiswa berkenaan dan dua kriteria ditetapkan iaitu berprestasi tinggi serta kurang berkemampuan.

"Kita ada cara mengenal pasti mereka terutama menerusi pemeriksaan latar belakang keluarga supaya pelajar dipilih benar-benar kurang berkemampuan dan patut mendapat bantuan bagi meningkatkan semangat," katanya kepada pemberita pada Kejohanan Golf Amal UMP di Mahkota Golf and Country Club (MGCC) di sini, hari ini.

Kejohanan yang bertujuan mengumpul dana tabung MyGift bagi membiayai biasiswa pelajar miskin di UMP, sebelum ini diadakan di Glenmarie Golf and Country Club, Selangor pada 3 September lalu.

Kemelut Kerajaan

Berita Harian X