Ahad, 18 September 2016 | 12:03am

Pesantren, pondok boleh lahirkan pengarang hebat


Penerima Anugerah Penulisan Asia Tenggara (SEA Write) Indonesia 2012, Zawawi Imron.

RANAH sastera Indonesia melahirkan ramai pengarang prolifik dari latar pendidikan pesantren, antaranya Penerima Anugerah Penulisan Asia Tenggara (SEA Write) Indonesia 2012, Zawawi Imron yang sudah menghasilkan 10 buku sejak 1975 bermula dengan kumpulan puisi, Bulan Tertusuk Lalang. Wartawan BH, Hafizah Iszahanid mengupas pandangan beliau tentang sastera bernuansa Islam dan keupayaan Indonesia melahirkan pengarang berlatar belakangkan pendidikan Islam.

Soalan: Boleh kongsikan bagaimana pembabitan dalam dunia penulisan.

Jawapan: Saya bermula sebaik tamat pengajian sekolah rendah. Bapa saya pedagang tetapi jatuh muflis menyebabkan keluarga tidak mampu untuk menghantar ke sekolah aliran biasa kerana kosnya sangat mahal untuk orang kampung seperti saya.

Namun, kemiskinan bukan halangan menuntut ilmu, jadi saya dimasukkan ke pesantren. Di situ, ada kegiatan menulis puisi dan saya menulis menggunakan bahasa Madura tetapi dianggap pelik sehingga saya belajar menulis menggunakan bahasa Melayu. Saya menulis tentang kampung dan agama. Lama-kelamaan terasa nikmat menulis puisi hingga berasa bahagia. Saya selalu percaya, kata-kata mempunyai kuasa ajaib yang mampu memikat hati pembaca. Setiap penyair ada kelainan dan setiap puisi yang lahir harus asli.

S: Di negara ini, tidak ramai pengarang lahir dari pelajar sekolah pondok. Bagaimanakah ia berbeza di Indonesia?

J: Mungkin kerana teknik pengajaran di pesantren tradisional menggunakan lagu dengan bahasa indah. Ada banyak maklumat dan ilmu yang perlu diingat dalam satu-satu masa. Ia perlu dihafal jadi bagaimana memudahkan hafazan itu? Antaranya dengan melagukannya seperti nama 25 rasul, kami diajar untuk menghafaz menerusi gubahan syair indah.

Selalu pada sewaktu malam kami membacakan syair, hati berasa tenang kerana susunan bahasa indah dan baik. Bayangkan pada waktu tengah malam, saya melagukan syair memuji Allah SWT dan Baginda Rasulullah SAW dengan bahasa indah ditemani bunyi cengkerik dan dingin malam. Hati tersentuh dan menangis, indahnya kuasa Allah.

Selain saya, ramai lagi pengarang berlatar agama yang mampu menulis dengan baik. Ini didukung sebahagian akhbar yang menyediakan ruang untuk pengkarya ini. Mereka bukan hanya menulis puisi, bahkan cerpen dan esei.

Selain saya, ada Mustofa Bisri atau lebih dikenali sebagai Gus Mus, manakala kini ada Acep Zam Zam dan tentunya Habiburahman El Shirazy serta A Fuadi yang berlatarkan pesantren. Saya tidak hairan dengan kemunculan pengarang berlatar agama kerana sememangnya al-Quran itu boleh disebut sebagai karya sastera, bahkan ia lebih bagus lagi. Misalnya, Allah SWT menceritakan air yang kita minum dalam ayat 68 dan 69, Surah Al-Waqiah.

Sopan sekali cara Allah bertanya, 'Tidakkah kamu melihat air yang kamu minum? Kamukah yang menurunkannya dari awan (sebagai hujan) atau Kami yang menurunkannya?'. Sastera seharusnya ada kesantunan yang begitu.

S: Jadi, apakah sastera perlu dibahagi kepada sastera Islami dan tidak Islami?

J: Tidak kerana Allah sendiri Maha Indah. Keindahan itu adalah keperluan manusia yang perlu hidup dengan bahasa santun. Sastera sifatnya indah, jadi tidak perlu ada pemisahan sastera Islami atau bukan.

Ya, ada karya yang bahasanya indah tetapi isinya tidak bagus atau ada karya yang bagus isinya tetapi bahasanya tidak. Bahasa yang dipilih mungkin disesuaikan dengan konteks. Namun, semua itu di luar kawalan saya kerana setiap penulis ada kecenderungan sendiri. Saya akan memastikan penulisan yang dihasilkan mengikut penyampaian al-Quran. Penyair berlatarkan pesantren ini tidak kalah dengan pengarang lain misalnya Gus Mus sebenarnya tidak kalah dengan Rendra walaupun mungkin dari segi popularitinya orang lebih melihat Rendra.

Kalau takdirnya saya bukan kiyai, saya hanya pengarang biasa sahaja, saya masih boleh menulis dengan bahasa baik dan indah kerana Allah menyenangi keindahan.

S: Namun ada pengarang yang mungkin melahirkan karya yang Islami tetapi sikapnya tidak pula selari?

J: Persoalan Islam atau tidak, itu sebenarnya kita lihat pada pengarangnya sendiri. Kalau dia memang beragama Islam meskipun tidak terdidik secara formal di sekolah agama, cara berfikir dan bertindak itu adalah cara Islam maka karyanya akan lahir secara automatik adalah karya bernuansa Islam. Islam itu berada dalam karyanya misalnya Taufik Ismail.

Namun, ya ada pengarang yang mungkin menampilkan karya Islami tetapi sikap di luar karyanya tidak sepadan. Sebaiknya kita mesti seperti yang dilafazkan atau dituliskan.

S: Mengapa Zawawi tidak berhijrah ke Jakarta yang memungkinkan lebih banyak peluang melonjakkan nama dalam dunia sastera sebaliknya kekal di Madura?

J: Sekitar 1983 dan 1984 saya berada di Jakarta tetapi ada perkara mendesak saya pulang. Ibu saya tidak tahu berbahasa Indonesia. Jadi siapa yang akan mengurus dia kalau sendirian. Memikirkan itu, saya pulang ke Madura tetapi Allah lebih mengetahui.

Sudah rezekinya saya menjadi penyair, meskipun berada di Madura saya masih dikenali sebagai penyair. Semua ini bermula di ceramah saya yang menyaksikan saya dibawa mengelilingi Indonesia kerana memberi ceramah bahkan sampai ke muktamar Nahdatul Ulama (NU). Walau ada di mana-mana pun, niat murni kita yang baik akan dimakbul Allah jika itu takdir kita.

Berita Harian X