Isnin, 24 November 2014 | 4:36pm

Mas Muharni kahwin 20 Disember ini

MAS ketika hadir ke Balai Berita menyerahkan kad kahwinnya kepada BH Online serta foto bersama bakal suami, Muniff Isa.
MAS ketika hadir ke Balai Berita menyerahkan kad kahwinnya kepada BH Online serta foto bersama bakal suami, Muniff Isa.

KUALA LUMPUR: Mas Muharni yang digilap Profesor Dr Hatta Azad Khan menerusi filem Wayang bergandingan dengan pelakon Zulhuzaimy pada 2008 akan melangsungkan perkahwinannya pada 20 Disember ini di Sungai Petani, Kedah.

Mas memilih tempat kelahirannya itu untuk bersatu dengan cinta hatinya, Muniff Isa yang juga bergelar pelakon sepertinya.

Pasangan ini akan bernikah dan bersanding pada hari yang sama di Batik Homestay.

Mereka sudah lima tahun bercinta dan bertunang pada 15 Oktober lalu juga di lokasi yang sama pernikahan bakal diadakan.

Mereka berkawan sejak sama-sama menuntut dalam jurusan Seni Persembahan di UiTM (Universiti Teknologi MARA).

Mas dan Muniff mula bercinta selepas sama-sama membintangi drama Embun Mutiara yang pernah disiarkan di TV3.

"Konsep kahwin saya biasa-biasa saja. Pendek kata ringkas dan sederhana. Janji lepas yang wajib. Kami sepakat mengadakan di situ kerana memudahkan sanak saudara saya datang dan menginap di situ.

"Persiapan kahwin pun boleh dikatakan hampir siap dan hanya menunggu hari majlis saja. Kebanyakan persiapan saya buat sendiri termasuklah cenderahati untuk tetamu selain mencari baju untuk digayakan di hari bersejarah nanti.

"Cuma tanpa disangka ketika saya dan bakal suami menghadiri karnival perkahwinan di Sungai Petani ada pula pihak yang bermurah hati nak menaja pelamin. Pelamin saya akan ditaja Armie Bridal Couture yang beroperasi di Jitra," katanya sambil memberitahu majlis sebelah Muniff berkemungkinan akan diadakan di Perlis tahun depan.

Sejak Ramadan lalu, Mas turut memberitahu beliau sudah tidak berlakon kerana memberi tumpuan persiapan kahwin dan menguruskan syarikat produksi milik Muniff, Misa Pictures Sdn Bhd seperti dalam penerbitan video korporat. penyewaan alatan fotografi dan sebagainya.

"Insya-Allah selepas kahwin nanti, saya dan dia akan aktif semula sekali gus melakukan penjenamaan semula untuk diri sendiri dalam lakonan. Kali terakhir saya berlakon Ramadan lalu. Dia pula selepas mengacarakan program di TV Alhijrah ramai cakap sudah tak berlakon," kata pemilik nama sebenar Mas Normuharni Sheikhah Mohd Satar ini yang bertudung sejak Ramadan lalu.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X