Ahad, 18 September 2016 | 1:15pm
Universiti Malaysia Pahang
Universiti Malaysia Pahang

UMP anjur Splash RUN 2016 kumpul dana

KUANTAN: Universiti Malaysia Pahang (UMP) akan menganjurkan UMP Splash Run 2016 pada 24 September ini bagi mengumpul dana menerusi program MyGift untuk kebajikan pelajar.

Pegawai Perhubungan Awam dan Media UMP, Mimi Rabita Abdul Wahit, berkata program larian sejauh enam kilometer (km) di UMP Kampus Gambang berkenaan, dianjurkan oleh Jabatan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (JHEPA) yang terbuka kepada orang ramai.

"Yuran penyertaan bagi pelajar UMP adalah RM21 manakala kakitangan dan orang luar RM27.

"Peserta diberi kemeja-T, sarapan, sijil penyertaan, medal bagi 100 orang yang menamatkan larian awal dan merit kepada pelajar UMP.

"Pendaftaran dibuka sehingga jam 1 tengah hari 21 September ini dan orang ramai yang berminat boleh menghubungi Ferdaus di talian 09-5492565," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Mimi Rabita berkata, UMP Splash Run 2016 adalah antara program bagi mengumpul dana MyGift sebagai antara inisiatif menjaga kebajikan pelajar, selain menjana pendapatan tanpa bergantung kepada pembiayaan kerajaan.

Majlis pelancaran MyGift dijangka disempurnakan Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah di Kuala Lumpur, 1 Oktober depan dan kumpulan pertama penerima biasiswa menerusinya akan menerima surat tawaran pada majlis berkenaan.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X