Isnin, 19 September 2016 | 9:16pm

MDEC Revolusi Ekonomi Internet 2017


KETUA Pegawai Eksekutif MDEC, Datuk Yasmin Mahmood. - Foto Hafiz Sohaimi

KUALA LUMPUR: Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) bakal mengalami 'revolusi' baharu tahun depan bagi mengadaptasikan organisasi itu kepada bidang ekonomi digital baharu, khususnya ekonomi internet atau ekonomi keterhubungan.

Hasilnya diharap meneruskan kecemerlangan MDEC mentransformasi ekonomi digital negara terutama selepas MSC Malaysia mencatatkan rekod tertinggi jumlah pelaburan baharu RM4.6 bilion tahun lalu, melonjakkan jumlah pelaburan keseluruhan 2015 kepada RM19.8 bilion.

Ketua Pegawai Eksekutif MDEC, Datuk Yasmin Mahmood, berkata sempena sambutan ulang tahun ke-20 MDEC tahun ini, penting baginya memastikan kejayaan yang diwarisi organisasi itu dapat diteruskan.

Katanya, MDEC merasai gesaan untuk membantu negara kekal dinamik bagi terus menerajui industri dan meningkatkan keupayaan pendapatan dalam bidang inovasi digital khususnya berasaskan ekonomi internet.

Berikutan itu, beliau berkata, tahun depan penting untuk melihat bagaimana MDEC pada 2017 dan selepasnya, lebih-lebih lagi apabila terlalu banyak persaingan baharu dalam pasaran serta kehadiran pelbagai peluang baharu di negara ini.

"Justeru, MDEC perlu berevolusi untuk pastikan kita tidak hanya meneruskan warisan kejayaan 20 tahun ini, tetapi juga memastikan kita berubah dengan pantas mengadaptasikan organisasi kepada ekonomi baharu.

"Dua aspek saya ingin lihat berlaku dalam digital ekonomi negara tahun depan iaitu impak digital ekonomi seperti eUsahawan dan eRezeki diteruskan; dan fokus ekonomi internet," katanya di sini, hari ini.

Minggu Data Besar Asia 2016 adalah persidangan utama industri peringkat serantau yang membabitkan 3,500 peserta, 84 panel pakar bertaraf dunia, 38 pempamer industri, 41 penaja dan tempat berlangsungnya 17 majlis.

Majlis berlangsung selama seminggu bermula semalam itu meletakkan Kuala Lumpur sebagai bandar rakan penganjuran Minggu Data Besar Global dan diiktiraf sebagai penganjuran terbesar di Asia tahun ini.

Prestasi MSC Malaysia

*Jumlah pelaburan pelabur baharu 2015: RM4.6 bilion

*Jumlah pelaburan baharu pelabur sedia ada 2015 : RM15.2 bilion

* Keseluruhan pelaburan baharu 2015 : RM19.8 bilion

* Pendapatan berkembang 9% kepada RM42.1 bilion

*Jualan eksport meningkat 18 % kepada RM16.2 bilion

*Sumbangan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) naik 11%

* Jumlah pekerjaan bersih 2015 naik 16% kepada 10,981

Berita Harian X