Selasa, 20 September 2016 | 12:02am

Amirizdwan Taj jadi 'pembantu' di cafe


AMIRIDZWAN (kanan) bersama pemilik Kafe Garlic, Razi Effendi Suhit di Kafe Garlic Seksyen U10, Alam Budiman. - Foto Nazran Jamel

SHAH ALAM: Sudah menjadi lumrah kecederaan adalah perkara paling ditakuti oleh ramai atlet seluruh dunia kerana jika tidak bernasib baik mungkin boleh memusnahkan karier lebih awal.

Bukan soal pembedahan tetapi tempoh rehabilitasi juga cukup perit kerana setiap latihan perlu dilakukan dengan betul bagi menguatkan kembali bahagian yang tercedera.

Setiap orang ada kaedah sendiri dan bagi bekas pemain skuad kebangsaan, Amirizdwan Taj Tajuddin, dia juga ada cara tersendiri untuk mengisi masa terluang bagi mengelak terlalu memikirkan soal kecederaan lutut kanan yang dialami.

Selain daripada menumpukan latihan pemulihan, Amirizdwan Taj kebiasaannya akan mengunjungi cafe The Garlic di Alam Budiman, Shah Alam milik bekas rakan sepasukan ketika mewakili Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Razi Effendi Suhit.

Selain bersembang, berkongsi pendapat mengenai perkembangan semasa bola sepak negara, pemain kelahiran Kota Bharu, Kelantan itu juga agak 'ringan tulang' jika Razi memerlukan bantuannya.

"Selepas menjalani latihan dan ada masa terluang, saya biasanya akan ke The Garlic. Masing-masing ada karier sendiri dan ini peluang untuk kami berborak mengenai perkembangan terkini.

"Jika dia (Razi) memerlukan bantuan, saya juga sedia tolong. Biasanya saya akan ambil pesanan pelanggan. Saya selesa ke sini kerana lokasinya tidak jauh daripada rumah saya," katanya yang mempunyai menu kegemaran - Lamb Chops.

Awal musim lalu, Amirizdwan Taj menandatangani kontrak untuk menyertai Terengganu bersama Joseph Kalang Tie dan Yong Kuong Yong.

Namun jodoh pertahanan tinggi lampai itu tidak berpanjangan selepas kedua-dua belah pihak bersetuju penamatan kontrak lebih awal ekoran masalah kecederaan lutut yang dialaminya.

Sama seperti atlet lain, Amirizdwan kini menanti penuh sabar untuk kembali ke padang namun kini perlu mendisiplinkan diri dalam melakukan proses pemulihan.

"Setakat ini semuanya berjalan lancar. Tidak ada rasa sakit dan saya sudah boleh berlari cuma belum dapat menyepak bola.

"Setiap hari saya akan ke Institut Sukan Negara (ISN) untuk menjalani proses pemulihan. Itu rutin seharian saya bagi mengembalikan semula kekuatan diri," katanya yang mengakui tekanan untuk menempuh tempoh pemulihan begitu dirasai.

Rindukan aksi di padang membuatkan Amirizdwan begitu bersemangat untuk pulih kerana percaya masih mampu menabur bakti bersama mana-mana pasukan.

"Sama seperti pesakit di hospital, jika kita terlalu fikirkan sangat soal penyakit, ia terasa begitu lambat untuk pulih. Tetapi jika ada peluang dan ruang untuk alihkan perhatian, tempoh itu tidak terasa lama akan berlalu begitu saja.

"Sebab itulah saya suka berkongsi pandangan, berbual mengenai apa saja isu. Saya bersyukur kerana ramai kawan rapat yang sering memberikan kata-kata semangat," katanya.

Profil: Amirizdwan Taj Tajuddin

Umur: 30 tahun

Tarikh lahir: 30 Mac 1986

Tempat lahir: Kota Bharu, Kelantan

Tinggi: 1.85m

Posisi: pertahanan

Karier: UiTM (2008-2011), ATM (2012-2015), Kelantan (2015), Terengganu (2016)

ends.

Berita Harian X