Selasa, 20 September 2016 | 4:29pm

Kelantan cari pelajar terkandas di Mesir

EXCO Pembangunan Insan, Pendidikan dan Pengajian Tinggi, Datuk Dr Mohamed Fadzli Hassan

KOTA BHARU: Kerajaan negeri sedang mengesan pelajar dari negeri ini yang dikatakan terkandas di Mesir selepas gagal menjelaskan yuran pengajian di negara itu.

Exco Pembangunan Insan, Pendidikan dan Pengajian Tinggi, Datuk Dr Mohamed Fadzli Hassan, berkata kebanyakan pelajar itu dihantar ke Mesir bukan dengan tajaan kerajaan, sebaliknya menggunakan perbelanjaan sendiri.

"Mereka juga dijanjikan tajaan oleh pihak swasta jika mendapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan semester pertama tapi akhirnya tidak menerima sebarang tajaan sebelum terkandas.

"Dalam usaha membantu pelajar ini, kita memberi bantuan sekali gus bagi membantu menyelesaikan masalah kewangan mereka bermula tahun lalu," katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Fadzli berkata, daripada jumlah 14,000 pelajar Malaysia yang melanjutkan pelajaran di Mesir, sebahagian mereka adalah pelajar Kelantan yang mengikuti tiga jurusan iaitu perubatan, farmasi dan kimia yang memerlukan perbelanjaan tinggi.

"Oleh itu, saya sarankan ibu bapa jika ingin menghantar anak ke universiti di Mesir supaya tidak mengambil risiko jika tidak mendapat tajaan kerajaan," katanya.

Sementara itu, Mohamed Fadzli berkata kerajaan negeri akan menganjurkan Persidangan Pendidikan Tinggi Kelantan bertemakan Memacu Pendidikan Tinggi Rabbani, selama tiga hari, bermula 4 Oktober ini.

Katanya, persidangan disertai beberapa universiti awam termasuk Kolej Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra (KIAS) dan Yayasan Tok Kenali.

Berita Harian X