Selasa, 20 September 2016 | 9:26pm

Atikah nafi individu dalam gambar bogel


PELAKON kelahiran Singapura, Atikah Suhaime. - Foto ihsan Instagram Atikah Suhaime

PETALING JAYA: Pelakon kelahiran Singapura, Atikah Suhaime, menafikan dirinya ialah individu yang dikaitkan dengan gambar bogel seperti yang tersebar di Internet, baru-baru ini.

Malah, aktres berusia 25 tahun itu turut mengakui tidak melihat langsung gambar berkenaan, yang turut dikaitkan dengan seorang pelakon lelaki semakin meningkat naik, Idris Khan.

"Itu bukan saya. Saya langsung tidak tengok gambar berkenaan. Hanya ibu saya yang melihat gambar itu.

"Dia juga menasihatkan saya supaya bersabar," katanya ketika ditemui pada majlis pratonton filem Volkswagen Kuning di Mutiara Damansara, di sini sebentar tadi.

Kelihatan cukup tenang ketika menjawab soalan yang diajukan, Atikah menyerahkan kepada pihak pengurusannya untuk menyiasat dalang di sebalik insiden itu.

"Saya tidak boleh bercakap banyak mengenai perkara ini dan semuanya akan diuruskan oleh syarikat pengurusan saya, MIG Talents, termasuk mencari siapakah dalang di sebalik penyebaran gambar itu serta membuat laporan polis," katanya.

Tahun lalu, kontroversi yang sama turut melanda pelakon ini apabila dirinya didakwa mempunyai video lucah bersama dua pelakon lelaki, iaitu Idris dan Ammar Alfian.

Bagaimanapun, semua pelakon terbabit menafikan dakwaan berkenaan sambil meminta bukti kesahihan perkara itu.

Berita Harian X