Rabu, 21 September 2016 | 7:57am

Fabregas julang Chelsea, Everton tersingkir


PEMAIN Chelsea, Cesc Fabregas (kanan) menjaringkan gol keempat pasukannya sambil cuba dihalang pertahanan Leicester City pada perlawanan Piala Liga Inggeris di Stadium King Power, awal pagi tadi. Fabregas jaring dua gol bantu Chelsea menang 4-2. - Foto Reuters

LONDON: Cesc Fabregas memberi amaran keras kepada pengurus Chelsea, Antonio Conte selepas dua jaringannya memastikan kemenangan 4-2 pasukan itu di Leicester, awal pagi tadi.

Everton dan Bournemouth pula mengalami kejutan apabila tersingkir di pusingan ketiga dalam saingan Piala Liga.

Fabregas yang lebih banyak memanaskan bangku simpanan dalam Liga Perdana sejak Conte mengambil alih kelab, tetapi pemain tengah Sepanyol itu membuktikan dia masih boleh menjadi pemain berpengaruh menerusi jaringan pada masa tambahan.

"Saya gembira dapat bermain sejak dari awal permainan! Semoga ia akan menutup mulut beberapa wartawan yang memperkatakan perkara yang tidak betul," kata Fabregas, yang dikaitkan dengan perpindahan keluar dari Chelsea.

Di gelanggang lain, pasukan dari liga kedua, Norwich merosakkan permulaan mengagumkan Everton musim ini apabila memberi kekalahan pertama Ronald Koeman sebagai bos skuad Toffees dengan kemenangan 2-0 di Goodison Park.

Bournemouth juga antara mangsa kepada pasukan dari liga kedua, Preston yang meraih kemenangan 3-2 dan perlu berterima kasih kepada penyerang Denmark, Simon Makienok yang meledak hatrik.

Di Stadium King Power, Shinji Okazaki meletakkan juara Liga Perdana, Leicester mendahului dengan dua gol hasil jaringan pada minit ke-17 dan 34.

Gary Cahill merapatkan kedudukan sebelum berakhir babak pertama dan skuad The Blues menyamakan kedudukan empat minit selepas rehat menerusi jaringan Cesar Azpilicueta.

Leicester bagaimanapun terpaksa mengharungi masa tambahan dengan 10 pemain selepas Marcin Wasilewski dibuang padang pada minit ke-89 kerana menyiku Diego Costa dan Fabregas menggunakan kelebihan itu dengan meledak dua jaringan pada minit ke-92 dan 94. - AFP

Berita Harian X