Rabu, 21 September 2016 | 7:08pm

i-City jalin kerjasama strategik dengan Huawei

SHAH ALAM: I-Bhd, pemaju perbandaran pintar i-City, memeterai perjanjian kerjasama strategik dengan syarikat teknologi maklumat (IT), Huawei bagi melaksanakan konsep kediaman yang dilengkapi internet kebendaan (IoT).

Kediaman itu yang dikenali sebagai Converse@i-City, terletak di atas Hotel Double Tree by Hilton di perbandaran i-City.

Timbalan Pengerusi I-Bhd, Datuk Eu Hong Chew, berkata kediaman mewah Converse@i-City itu disasarkan untuk dilancarkan pada awal 2017.

"Converse@i-City juga akan menampilkan fasa berikutnya konsep bandar pintar i-City yang mana unit kediaman akan dilengkapi IoT," katanya pada majlis perjanjian kerjasama strategik i-City dan Huawei di sini, semalam.

Turut hadir, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Panglima Madius Tangau; Pengerusi Eksekutif I-Berhad, Tan Sri Lim Kim Hong dan Ketua Pegawai Eksekutif Huawei, Lim Cheesiong.

Kerjasama strategik i-City dan Huawei selama lima tahun akan memberi tumpuan kepada tiga bidang iaitu menaiktaraf infrastruktur sambungan daripada berwayar sehingga rangkaian tanpa wayar.

Kedua, ia akan mempunyai penyelesaian bandar pintar seperti lampu jalan, pengurusan lalu lintas serta parkir, dan terakhir membina kediaman dengan ketersediaan ICT dengan rangkaian rumah.

Dalam perkembangan berkaitan, Hong Chew berkata, berikutan i-City sudah mempunyai infrastruktur internet kelajuan tinggi berwayar, pihaknya percaya penambahbaikan kawasan akan datang adalah menaiktaraf infrastruktur terbabit.

Katanya, ini adalah untuk beroperasi dalam kedua-dua persekitaran iaitu berwayar dan tanpa wayar di dalam kediaman serta dalam kawasan i-City.

"Kediaman pintar berasaskan IoT akan bergantung kepada rangkaian digital kukuh dalam rumah. Sebab itu, kita lebih menekankan kepada menyediakan infrastruktur rangkaian sebagai sebahagian daripada infrastruktur utiliti rumah dalam fasa i-City seterusnya," katanya.

Sementara itu, Cheesiong berkata, sebagai peneraju global pembekal penyelesaian teknologi maklumat dan komunikasi, visi mereka adalah untuk meningkat dan memperkayakan gaya hidup orang ramai menerusi kemajuan teknologinya.

Info

Kerjasama strategik i-City & Huawei

-Menaiktaraf infrastruktur sambungan

-Penyelesaian bandar pintar

-Bina kediaman dengan ketersediaan ICT

19 dibaca
Berita Harian X