Rabu, 21 September 2016 | 8:03pm

Bekas tekong skuad takraw negara meninggal dunia

JENAZAH Allahyarham Abdul Rahman Mohd Noor tiba di kediamannya di Taman Seri Manis selepas meninggal dunia di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) akibat kanser hati dan tulang belakang. - Foto BERNAMA
JENAZAH Allahyarham Abdul Rahman Mohd Noor tiba di kediamannya di Taman Seri Manis selepas meninggal dunia di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) akibat kanser hati dan tulang belakang. - Foto BERNAMA

ALOR SETAR: Bekas tekong skuad sepak takraw negara, Abdul Rahman Mohd Noor meninggal dunia pagi tadi akibat kanser hati dan tulang belakang.

Abdul Rahman, 71, menghembuskan nafas terakhirnya di sisi isteri, Wan Rodziah Wan Ismail, 71, dan anak tunggalnya Azlan, 40, pada pukul 10.40 pagi di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di sini.

Allahyarham adalah anggota skuad sepak takraw negara yang muncul juara di Sukan Semenanjung Asia Tenggara (SEAP) di Kuala Lumpur 1965 apabila sukan itu dipertandingkan buat kali pertama.

Azlan berkata, bapanya dimasukkan ke sebuah hospital swasta pada 14 September lalu selepas mengadu tidak sihat, sebelum disahkan menghidap kanser hati dan tulang tahap empat.

Beliau berkata bapanya kemudian dirujuk ke HSB petang semalam untuk mendapat rawatan lanjut selepas tahap kesihatannya merosot.

"Arwah ayah turut menghidap kanser prostat sejak tiga tahun lepas, tetapi kembali pulih seperti biasa dan aktif melakukan pelbagai aktiviti seperti bermain golf," katanya ketika ditemui di kediamannya di Taman Seri Manis di sini, hari ini.

Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada Yayasan Kebajikan Atlet Malaysia (YAKEB) yang sering bertanya khabar dan turut menghulurkan bantuan kepada Allahyarham.

Allahyarham juga pernah menjadi jurulatih kebangsaan dan memainkan peranan penting melatih beberapa legenda sepak takraw negara seperti Adnan Saidin.

Sementara itu, rakan seperjuangan Allahyarham, Khalid Bakar, 69, berkata negara kehilangan tokoh sepak takraw yang banyak mencurahkan jasa serta ilmu kepada sukan itu.

Beliau berkata khidmat Allahyarham juga pernah ditagih oleh pasukan Indonesia yang menawarkannya menjadi jurulatih.

"Banyak pengalaman manis ketika kami bergelar atlet di mana kami yang mewakili Kedah ketika itu telah memenangi tiga piala seperti Piala Tun Razak, Piala Emas Khir Johari dan Piala Tunku Abdul Rahman pada 1969," katanya.

Menurut Khalid, Allahyarham juga bertanggungjawab mengumpul maklumat berkaitan legenda emas takraw negara untuk direkodkan dalam laman web 'infotakraw' bagi membolehkan generasi muda melihat dan mengenali pemain sepak takraw terdahulu. - BERNAMA

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X