Rabu, 21 September 2016 | 8:06pm

Untung suku pertama Glomac melonjak kepada RM117.8 juta

KUALA LUMPUR: Glomac Bhd mencatatkan keuntungan sebelum cukai RM117.8 juta bagi suku pertama tahun kewangan berakhir 30 April 2017, meningkat 283.8 peratus berbanding RM30.7 juta pada tempoh sama tahun kewangan sebelumnya.

Keuntungan bersih dalam suku dikaji melonjak 306 peratus kepada RM85.5 juta, malah mengatasi keuntungan bersih tahun kewangan penuh 2016 sebanyak RM80.9 juta.

Prestasi memberangsangkan itu disumbangkan menerusi pendapatan yang melonjak 104.4 peratus kepada RM251.4 juta dalam suku dikaji berakhir 31 Julai 2016, berbanding RM123 juta pada suku sama tahun sebelumnya.

Pendapatan sesaham Glomac bagi suku dikaji meningkat 11.87 sen daripada 2.94 sen, manakala nilai aset bersih sesahamnya meningkat kepada RM1.50.

Pengerusi Eksekutif Kumpulan Glomac, Tan Sri FD Mansor, berkata prestasi suku tahun dikaji disokong oleh sumbangan daripada pelupusan tanah bernilai RM145.6 juta serta pembangunan projek penting yang sedang dilaksanakan iaitu Saujana KLIA, Lakeside Residences, Glomac Centro dan Reflection Residences.

Beliau berkata, pelupusan tanah pembangunan hak milik kekal seluas 16.9 hektar itu di Cheras disempurnakan pada Julai lalu.

"Glomac sedang bersiap sedia melancarkan projek pembangunan baharu bernilai RM1 bilion tahun ini, dengan tujuh daripada lapan projek baharu adalah pembangunan kediaman bertanah dan mampu milik.

"Suku tahun semasa akan menyaksikan pelancaran rumah teres dua tingkat di Lakeside Residences di Puchong, yang mana pelancaran terdahulu mencatatkan kejayaan besar, dengan jualan lebih 90 peratus," katanya dalam kenyataan, hari ini.

FD Mansor berkata, fasa baharu rumah teres di Saujana Utama juga amat ditunggu, terutama selepas kejayaan pembangunan Bandar Saujana Utama Glomac yang kini sudah mampan serta matang.

"Pada hujung tahun katanya, pembangunan Saujana Jaya akan dimulakan dengan pelancaran awal rumah mampu milik di Kulai, Johor," katanya sambil menambah Glomac juga dijangka melancarkan fasa pertama rumah berkembar di Saujana KLIA.

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Glomac, Datuk Seri FD Iskandar, dalam Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) syarikat sebelum itu berkata, pasaran hartanah dijangka terus mencabar dalam tempoh terdekat ini.

Bagaimanapun, katanya, sektor hartanah tempatan akan banyak bergantung kepada pembentangan Bajet 2017 yang akan diumumkan Perdana Menteri, bulan depan.

"Kami mahu melihat bagaimana bajet akan dapat membantu (pasaran hartanah), khususnya pembeli rumah kali pertama. Jika terdapat (mekanisme) pembiayaan lebih baik dan munasabah, sudah pasti ia akan membantu," katanya.

INFO

* 70 peratus rumah dilancarkan Glomac pada tahun kewangan 2017 adalah kediaman bertanah

* Pelancaran bernilai RM1 bilion yang dirancang pada tahun kewangan ini bakal meningkatkan jualan dalam tempoh selanjutnya

* Pada masa depan, kumpulan berada pada kedudukan baik untuk memanfaatkan permintaan mampan bagi kediaman bertanah dengan projek bernilai RM7 bilion dijangka dilaksanakan, terutama pembangunan kediaman bertanah mampu milik.

Berita Harian X