Khamis, 22 September 2016 | 3:29pm

Lima kakitangan JPJ ditahan SPRM

ANGGOTA SPRM mengiringi dua pembantu penguatkuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) cawangan Kulim yang ditahan untuk diambil keterangan di pejabat SPRM cawangan Sungai Petani berhubung dakwaan menerima rasuah berjumlah sekitar Rm100 dalam beberapa kejadian daripada pemandu lori yang membawa muatan lebih di sekitar Kedah sejak tahun lepas. - Foto Amran Hamid

SUNGAI PETANI: Empat pembantu penguat kuasa dan seorang pemeriksa kereta motor Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) ditahan dalam operasi anti rasuah, 'Ops 4x4' yang dijalankan secara berasingan di Kedah dan Perlis, semalam.

Jurucakap Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), berkata dalam operasi jam 12 tengah hari itu, dua pembantu penguat kuasa dan seorang pemeriksa kereta motor JPJ Perlis ditahan ketika menyerah diri di pejabat SPRM Perlis di Kangar.

Katanya, dua pembantu penguat kuasa JPJ lagi ditahan pegawai SPRM di pejabat JPJ Kulim, Kedah.

"Kelima-lima suspek yang berusia antara 34 tahun hingga 48 tahun didakwa menerima suapan daripada pemandu lori yang membawa lebihan muatan antara RM100 dan RM300 sejak tahun lalu.

"Semua suspek kini disiasat mengikut Seksyen 17 (a) Akta SPRM 2009 dan dijangka direman esok," katanya di sini hari ini.

Sementara itu, Pengarah Perisikan SPRM, Datuk Seri Ahmad Khusairi Yahaya mengesahkan tangkapan tetapi enggan mengulas lanjut.

Berita Harian X