Jumaat, 23 September 2016 | 12:04am

Ransomware licik peras pengguna internet Malaysia



KUALA LUMPUR: Pemerasan secara siber, menggunakan virus Ransomware, terhadap pengguna negara ini, dikesan meningkat kepada 134 kes sejak awal tahun lalu hingga Ogos tahun ini, berbanding hanya lapan kes sepanjang 2014.

Perbuatan itu menyebabkan ada dalam kalangan mangsa, terpaksa membayar sehingga RM13,000 bagi mendapatkan kembali data peribadi, yang dikunci atau disekat penyerang, menerusi penghantaran virus berkenaan.

Biasanya, virus terbabit dihantar menerusi emel atau pesanan seolah-olah daripada rakan mangsa atau institusi kewangan memaklumkan kedudukan penyata akaun.

Ketua Jabatan MyCert, CyberSecurity Malaysia (CSM), Megat Muazzam Abdul Mutalib, berkata ancaman siber menggunakan virus terbabit, membimbangkan kerana penyerang meminta pembayaran dibuat mengguna mata wang digital, yang menyukarkan pihak berkuasa mengesan identiti mereka.

Beliau berkata, dalam semua kes terbabit, mangsa yang mahu mendapatkan kembali data yang dikunci atau sekat itu, diarah membayar menggunakan kad kredit kepada gerbang pembayaran atas talian yang dipindahkan kepada akaun mata wang digital milik penyerang.

"Mata wang digital yang tidak tertakluk kepada sebarang jenis mata wang dunia, menyebabkan ia tidak boleh dibekukan kerana tidak melalui mana-mana bank, menyebabkan sistem itu tidak boleh dikawal mana-mana perbankan negara," katanya kepada BH.


Ketua Jabatan MyCert, CyberSecurity Malaysia (CSM), Megat Muazzam Abdul Mutalib.

Beliau mendedahkan demikian pada perjumpaan tahunan Projek Aplikasi Keselamatan Sumber Terbuka (OWASP) bersama CSM di sini semalam.

Perjumpaan disertai 40 wakil itu turut membincangkan ancaman siber terkini, modus operandi, kaedah menangkis, meningkatkan sistem pertahanan siber negara, dan mencari penyelesaian mengurangkan risiko diceroboh penyerang siber luar menerusi kerjasama dua hala CyberDef Alliance yang dibentuk tahun lalu.

Dalam pada itu, Ketua Peneraju OWASP, Mohd Fazli Azran, berkata pengguna internet dinasihatkan membina fail sokongan seperti menyimpan data dalam cakera keras atau aplikasi penyimpanan data secara berpusat.

Katanya, pengguna kini wajar mempunyai program keselamatan internet seperti menggunakan perisian yang berupaya mengesan kehadiran Ransomware.

"Pengguna juga perlu menggunakan internet secara bijak, menghindari penggunaan aplikasi atau mengunjungi laman web pelik yang mungkin dijadikan tapak pelancaran virus terbabit.

"Kita bimbang penyerang bukan sahaja mencuri data peribadi kita, malah menjualnya kepada pihak berkepentingan dan kebanyakannya membabitkan institusi penting seperti perbankan, kesihatan dan lain-lain.

"Orang ramai yang merasakan diri mereka menjadi mangsa malware atau lain-lain serangan siber, boleh melaporkan kepada Cyber999 melalui emel [email protected] atau menelefon 1-300-882-999," katanya.

Berita Harian X