Selasa, 25 November 2014 | 2:39pm

Saham Axiata naik walaupun untung susut

KUALA LUMPUR: Saham Axiata Group Bhd naik pada tengah hari ini walaupun mencatat keuntungan sebelum cukai lebih rendah pada Isnin.

Pada jam 12.10 tengah hari, saham Axiata naik satu sen kepada RM7.20 dengan 1.17 juta saham bertukar tangan.

Semalam syarikat telekomunikasi itu mengumumkan keuntungan sebelum cukai yang lebih rendah pada RM747.19 juta bagi suku ketiga berakhir pada 30 September 2014, berbanding RM918.06 juta pada suku sama tahun lalu.

Pendapatan susut kepada RM4.65 bilion berbanding RM4.75 bilion sebelumnya.

Dalam nota penyelidikannya Kenanga Research berkata Axiata yakin mendapatkan kembali momentum pertumbuhan unitnya, Celcom, pada suku keempat 2014, selepas program transformasi teknologi maklumat.

"Mengenai masa depan, kumpulan akan kekal fokus kepada strategi transformasi jangka panjang, yang termasuk langkah-langkah inovatif dalam perniagaan semasa di samping mempelbagaikan inisiatif dalam tawaran data dan yang berkaitan," kata firma penyelidikan itu.

Kenanga mengekalkan saranan "prestasi pasaran" terhadap syarikat, tetapi menurunkan unjuran pendapatan tahun kewangan 2014-2015, masing-masing sebanyak 7.6 peratus dan 1.1 peratus serta mengurangkan harga sasaran kepada RM6.88 daripada RM6.92.

Sementara itu, RHB Research Institute mengekalkan saranan "neutral" terhadap Axiata dengan harga sasaran tidak berubah pada RM7.30. - BERNAMA

Berita Harian X