Jumaat, 23 September 2016 | 9:27pm

Batalkan konsesi selenggara jalan kampung - PERKOBF


PRESIDEN Persatuan Kontraktor Bumiputera Kelas 'F' (PERKOBF) Malaysia, Tukiman Radion berucap merasmikan Mesyuarat Agung Tahun PERKOBF Cawangan Negeri Perak kali ke 2/2016 di Hotel Seri Malaysia, Ipoh.- Foto Muhaizan Yahya

IPOH: Persatuan Kontraktor Bumiputera Kelas F (PERKOBF) mendesak kerajaan supaya mengkaji semula cadangan supaya kerja selenggara jalan kampung di bawah Sistem Maklumat Rekod Jalan Raya Malaysia (MARRIS) dilakukan secara konsesi kerana ia hanya akan mengakibatkan kontraktor kelas F hilang peluang dan sukar mencari pendapatan. 

Presidennya, Tukiman Radion, berkata cadangan kerajaan memberi konsesi bagi kerja di bawah MARRIS hanya akan menguntungkan pihak tertentu sahaja dan menjejaskan kontraktor kelas F yang bergantung kepada projek kecil. 

"Sebelum ini beberapa projek kerajaan membabitkan selenggara jalan termasuk jalan Persekutuan yang dilaksanakan oleh kontraktor kelas F sudah dikonsesikan dan jika kerja selenggara jalan di bawah MARRIS juga dikonsesikan, apa lagi yang tinggal untuk kontraktor kelas F. 

"Kerja kecil seperti selenggara jalan kampung itu sepatutnya tidak perlu diganggu oleh kontraktor besar, mereka boleh beri tumpuan kepada projek yang lebih besar dan menguntungkan, berilah peluang kontraktor kelas F lakukan kerja kecil seperti selenggara jalan kampung," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Terdahulu, beliau merasmikan Mesyuarat Agung PERKOBF Perak. Hadir sama, Yang Dipertua PERKOBF Perak, Zainol Hizam Zakaria.  

18 dibaca
Berita Harian X