Sabtu, 24 September 2016 | 10:22am

Isu pelajar Mesir: KPT tunggu laporan

MENTERI Pendidikan Tinggi (KPT), Datuk Seri Idris Jusoh. - Foto Roslin Mat Tahir
MENTERI Pendidikan Tinggi (KPT), Datuk Seri Idris Jusoh. - Foto Roslin Mat Tahir

ALOR GAJAH: Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) akan mengeluarkan kenyataan berhubung isu pembiayaan pengajian bagi pelajar Malaysia di Mesir dalam tempoh terdekat selepas rombongan kementerian itu dijangka pulang ke tanah air, hari ini.

Menterinya, Datuk Seri Idris Jusoh, berkata pihaknya sedang menunggu laporan yang akan dibentangkan oleh rombongan diketuai Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan) KPT, Datuk Kamel Mohamed yang dihantar ke Mesir itu, Isnin lalu.

"Pegawai kita akan pulang esok (hari ini), selepas mengadakan perjumpaan dengan pelajar kita, pihak universiti dan pejabat kedutaan. Kemudian, baru kita buat kenyataan," katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Malam Orkestra Patriotik Kembara Siswa Bersama Komuniti 2016 yang dihadiri kira-kira 2,000 penuntut daripada pelbagai institut pengajian tinggi awam dan swasta (IPTA/S) di Universiti Teknologi Malaysia Melaka (UTeM), Durian Tunggal, di sini, malam tadi.

Yang turut hadir, Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Prof Datuk Dr Asma Ismail dan Naib Canselor Universiti Teknologi Malaysia Melaka (UTeM), Prof Datuk Dr Shahrin Sahib.

BH sebelum ini mendedahkan kira-kira 150 pelajar cemerlang Malaysia di lapan universiti di Mesir mendakwa bakal disingkir selepas dikatakan menanggung hutang yuran berjumlah RM4.5 juta.

Sementara itu, Idris berkata, Tabung Pelajar Mesir dijangka dilancarkan oleh pihak Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS), pada awal Oktober ini.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X