Sabtu, 24 September 2016 | 6:19pm

46 PATI ditahan dalam Op Sapu di Pengerang

KETUA Bahagian Penguat Kuasa Jabatan Imigresen Johor, Masri Adul. - Foto Mohd Azren Jamaludin
KETUA Bahagian Penguat Kuasa Jabatan Imigresen Johor, Masri Adul. - Foto Mohd Azren Jamaludin

KOTA TINGGI: Jabatan Imigresen Johor menahan 46 pendatang tanpa izin (PATI) atas pelbagai kesalahan dalam serbuan di Kampung Sungai Kapal, Pengerang, dekat sini.

Dalam operasi bermula pada jam 11.30 pagi semalam, semua pendatang itu sedang bekerja dan berniaga di kawasan itu sebelum pihak Jabatan Imigresen mengepung kawasan berkenaan dan menahan semua PATI terbabit.

Ketua Bahagian Penguat Kuasa Jabatan Imigresen Johor, Masri Adul, mereka yang ditahan ialah 20 warga Indonesia termasuk lapan wanita, Bangladesh (11), India (8) dan Pakistan (8).

"Semua pendatang tanpa izin itu berusia antara 19 hingga 50 tahun dan didapati melakukan pelbagai kesalahan termasuk tinggal lebih masa di negara ini, selain ada yang tidak mempunyai dokumen perjalanan sah serta menyalah guna pas lawatan.

"Ketika serbuan, semua PATI terbabit sedang bekerja dan berniaga, malah turut didapati membuka perniagaan tanpa lesen," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Masri berkata, Ops Sapu disertai 52 pegawai dan anggota Jabatan Imigresen Johor dengan turut memeriksa 11 premis di perkampungan berkenaan.

Katanya, pihaknya mendapati ada rumah kediaman di kampung itu disewakan kepada pendatang tanpa izin yang turut bekerja sebagai buruh binaan di sekitar Pengerang, selain ada yang membuka dan bekerja di kedai runcit serta kedai makan.

Beliau berkata, mereka disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana tinggal tanpa pas dan dokumen, selain Seksyen 17(b) kerana tinggal melebihi tempoh dibenarkan dan Seksyen 17(b) Peraturan-peraturan Imigresen 1963 kerana menyalahgunakan pas lawatan.

Berita Harian X