Selasa, 25 November 2014 | 9:21pm

Bank Negara serbu dua syarikat kiriman wang di KL

KUALA LUMPUR: Bank Negara Malaysia (BNM) pada awal bulan ini menyerbu premis dua syarikat di sini yang disyaki menjalankan aktiviti perniagaan kiriman wang tanpa lesen.

BNM dalam kenyataan hari ini berkata, serbuan itu dibuat secara bersama dengan polis dan CyberSecurity Malaysia turut membabitkan premis ejen syarikat dan kediaman pengarah kedua-dua firma berkenaan.

"Aset dan dokumen syarikat berkaitan telah dirampas dan akaun bank mereka dibekukan untuk siasatan," kata kenyataan itu.

Serbuan dilakukan mengikut Seksyen 4(1) Akta Perniagaan Perkhidmatan Wang 2011.

Kedua-dua syarikat itu juga disiasat kerana melakukan kegiatan pengubahan wang yang menjadi kesalahan di bawah Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.

Orang ramai dinasihati supaya tidak berurusan atau mengirim wang melalui perkhidmatan pengendali kiriman wang atau ejen yang tidak berlesen.

Senarai pengendali pengiriman wang berlesen dan ejen berdaftar boleh didapati di laman sesawang BNM di www.bnm.gov.my. - BERNAMA

Berita Harian X