Isnin, 26 September 2016 | 2:10pm

Lelaki ditemui dibunuh, dibakar

KUALA LANGAT: Seorang lelaki ditemui rentung, dipercayai dibunuh sebelum dibakar berdekatan pesisir Pantai Kelanang dekat sini, malam tadi.

Dalam kejadian jam 11.45 malam itu, pihak polis menerima panggilan penduduk mengenai penemuan mayat dalam keadaan tertiarap dan terbakar di hujung Lorong 1, Jalan Simpang Tiga ketika melakukan rondaan di kawasan pantai.

Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Zailan Tasir, berkata siasatan awal mendapati mayat yang terbakar sepenuhnya itu adalah warga Bangladesh berusia lingkungan 40-an, susulan penemuan kad imigresen dalam dompetnya.

"Mangsa lengkap berpakaian dan dipercayai dibunuh di tempat lain sebelum dibuang serta dibakar di kawasan ini berikutan tiada penemuan kesan pergelutan atau barang di tempat kejadian.

"Mangsa mempunyai luka kira-kira sembilan sentimeter di belakang badan dan wujud kesan lekuk di dahi mangsa," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Berita Harian X