Isnin, 26 September 2016 | 7:59pm

Lori kontena terbalik, NKVE ditutup tiga jam


TRELER terbalik di Persimpangan Shah Alam, susur masuk ELITE dari NKVE. Semua lorong ditutup dan trafik dilencongkan ke persimpangan Subang.

SHAH ALAM: Sebuah lori kontena yang terbalik di Kilometer 9.45 Lebuhraya Baru Lembah Klang (NKVE) berdekatan persimpangan Shah Alam ke Seafield petang tadi, menyebabkan semua lorong ditutup kira-kira tiga jam untuk kerja pengalihan.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Shafien Mamat, berkata dalam kejadian pada jam 3.30 petang lori berkenaan menaiki susur lebuh raya untuk masuk Lebuhraya Utara-Selatan Hubungan Tengah (ELITE) dengan kelajuan yang agak tinggi sebelum hilang kawalan.

"Lori berkenaan kemudiannya terbalik dan kontenanya terpisah dari badan lori. Berikutan kejadian itu, susur lebuh raya ELITE ditutup untuk kerja-kerja pengalihan lori kontena serta pembersihan kesan tumpahan minyak.

"Laluan kembali dibuka kepada pengguna lebuh raya pada jam 4.45 petang selepas lori kontena itu dialihkan ke lorong kecemasan lebuh raya NKVE," katanya dalam satu kenyataan media.

Beliau berkata, pemandu lori yang retak tulang kedua-kedua kaki dibawa ke Hospital Shah Alam (HSA) untuk rawatan.

"Kerja pengalihan sudah selesai pada jam 6 petang tadi, bagaimanapun, kenderaan bergerak perlahan berikutan aliran trafik yang tinggi," katanya.

29 dibaca
Berita Harian X