Selasa, 27 September 2016 | 1:29pm

Faizal, Fara imbau kenangan bersama AG di konti Kool FM


FAIZAL Ismail dan Fara Fauzana bergandingan bersama AG di KoolFM.

PETALING: Biarpun ke udara hanya kira-kira tiga jam, pagi tadi, dua bekas penyampai Hot FM, Faizal Ismail dan Fara Fauzana menganggap peluang diberikan pengurusan Kool FM sebagai detik indah yang mengimbau kenangan mereka ketika bertugas bersama radio di bawah Media Prima Berhad itu.

Kedua-duanya diundang khas menjayakan program Pagi Hari di Kool FM (PHD Kool FM) bersama pengendali segmen terbabit, AG, yang juga bekas rakan gandingan mereka ketika di Hot FM sebelum ini.

Faizal dan Fara muncul di udara menggantikan tempat Haiza yang ketika ini sedang bercuti.

Biarpun sudah agak lama tidak berada di konti bersama-sama, ketiga-tiganya jelas serasi apabila pelbagai jenaka dan gurauan sering saja kedengaran daripada personaliti dikenali ramai terbabit. Apatah lagi tiga nama besar di bidang penyiaran radio itu pernah menghabiskan masa selama kira-kira sedekad di Hot FM.

Faizal memilih untuk meninggalkan dunia penyiaran radio tiga tahun lalu, manakala Fara pula mengikut jejak langkah rakannya itu sekitar Februari tahun ini.

BH Online turut membuat liputan FB Live perhimpunan semula tiga personaliti berkenaan di konti radio yang semakin mendapat tempat di hati pendengar itu.

Menerusi komen dikirimkan ke akaun Facebook BH, rata-rata merindui gandingan serasi mereka dan berharap ketiga-tiga dapat dikekalkan bersama.

"Benar, inisiatif ini mengimbas kembali detik manis kami ketika sama-sama berkhidmat di Hot FM. Walaupun kami hanya dipertemukan untuk satu pagi ini, ia sangat indah buat kami. Keserasian kami ketika ke udara dan menyakat sesama sendiri tetap ada.

"Secara jujur, selepas tiga tahun meninggalkan dunia penyiaran radio, saya sendiri bergelut untuk menetapkan rutin sama, bangun bekerja pada waktu pagi seperti suatu ketika dulu.

"Hendak bersiaran di radio memerlukan banyak tenaga, apatah lagi kita perlu bangun awal-awal pagi. Begitupun, dapat juga kami melepaskan rindu biarpun ia hanya 'shift' sementara.

"Walaupun hanya beberapa jam, ia nampak eksklusif. Kalau bersiaran dalam tempoh lebih panjang, kita mungkin tidak dapat menjangka apa yang akan difikirkan pendengar," kata Faizal yang meninggalkan Hot FM pada Oktober 2013.

Fara yang kini mengacarakan Muzik Muzik di TV3 turut mengakui teruja dengan sesi 'reunion' bersama AG dan Faizal, atau lebih dikenali sebagai FBI.

"Saya cukup teruja biarpun hasrat untuk melihat kami kembali pada hari ini bukan perkara mudah. Masing-masing sudah ada komitmen lain dan jadual juga bercanggah. Tetapi alhamdulillah ia dipermudahkan. Namun di sebalik keterujaan itu, saya juga kena mempersiapkan diri kerana akan menjadi mangsa buli mereka berdua.

"Begitupun, memori bekerjasama kami sangat berharga. Ia tidak boleh dijual beli dengan wang ringgit. Melihat komen pendengar di laman sosial, termasuk di laman Facebook Kool FM dan BH Online, saya sendiri jadi terharu kerana mereka masih rindukan kami bertiga. Malah, tidak kurang juga yang mahu kami disatukan semula.

"Saya percaya, jika takdir menyatukan kami lagi pada masa akan datang, jangkaan orang mungkin lebih tinggi. Banyak perkara perlu dipertimbangkan kalau ada kemungkinan kami bekerjasama lagi," kata bekas pengacara Nona dan Melodi itu.

Sementara itu, AG mengakui dirinya pantas terfikir untuk mengundang kembali dua temannya itu ke konti.

"Saya memang terbayangkan mereka. Mujur kedua-duanya boleh bekerjasama pada tarikh diinginkan. Lagipun, pendengar merindui suara mereka. Jadi, kehadiran Faizal dan Fara pagi ini umpama hadiah untuk semua.

"Sekalipun tak berpeluang mengendalikan segmen radio bersama-sama, saya berharap akan ada platform lain yang boleh menyatukan kami, mungkin di kaca TV.

"Persoalan sama ada kami akan kembali bersama itu sesuatu yang tidak pasti. Kalau mereka rindu untuk bersiaran bersama, saya lagilah lebih berperasaan begitu," katanya.

Sebelum masing-masing mengucapkan selamat tinggal, pagi tadi, AG sempat menyerahkan dua keping gambar yang dibingkaikan untuk ditandatangani Fara dan Faizal sebagai penghargaan dan kenangan saat manis terbabit.

16 dibaca
Berita Harian X