Khamis, 29 September 2016 | 11:45am

TMJ ada kekuatan bangunkan bola sepak Malaysia - Idris

KETUA Menteri Melaka yang juga Presiden Melaka United Soccer Association (MUSA), Datuk Seri Idris Haron. - Foto Muhammad Zuhairi Zuber
KETUA Menteri Melaka yang juga Presiden Melaka United Soccer Association (MUSA), Datuk Seri Idris Haron. - Foto Muhammad Zuhairi Zuber

MELAKA: Kesuraman bola sepak negara bakal berakhir andai Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dipimpin pemilik kelab bola sepak Johor Darul Ta'zim (JDT), Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim (TMJ).

Pandangan itu diberikan Ketua Menteri Melaka yang juga Presiden Melaka United Soccer Association (MUSA) Datuk Seri Idris Haron ketika mengulas langkah Presiden FAM, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah yang enggan menerajui badan induk itu lagi pada pemilihan tahun depan.

Idris berkata, TMJ adalah calon yang paling layak mengambil alih kepimpinan FAM berdasarkan kejayaannya membantu melonjakkan JDT sebagai sebuah pasukan yang disegani di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.

"Pemimpin muda yang memiliki idea bernas itu amat memahami bola sepak Malaysia dan isi hati penyokong bola sepak tempatan.

"Malah, kejayaannya meletakkan JDT terus cemerlang mampu mengubah landskap pembangunan bola sepak negara menerusi perancangan yang sistematik.

"Sebagai pemilik kelab bola sepak dan pernah menjadi Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ), saya berpendapat beliau adalah orang yang paling layak mengisi kekosongan jawatan Presiden FAM," katanya pada sidang media di Seri Negeri Ayer Keroh, semalam.

Idris juga pada majlis itu, mengucapkan tahniah kepada JDT yang menjulang Liga Super tiga kali berturut-turut.

Beliau berkata, TMJ harus diberi peluang menerajui FAM walaupun ada beberapa tokoh perniagaan yang juga berminat, namun trek yang dibina pemilik JDT itu amat relevan untuk beliau memimpin badan induk itu.

"Saya yakin bola sepak negara yang kini dihantui kemurungan mampu bangkit di bawah kepimpinan TMJ yang memiliki wawasan tinggi dalam pengurusan bola sepak," katanya.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X