Jumaat, 30 September 2016 | 3:26pm

3 pegawai JPJ Perlis didakwa rasuah

KANGAR 30 SEPTEMBER 2016. Tiga anggota Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) diiringgi pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) untuk dihadapkan ke Mahkamah Seksyen Kangar atas tuduhan terbabit rasuah. NSTP/MUHAMMAD MUSTAKIM RAMLI
KANGAR 30 SEPTEMBER 2016. Tiga anggota Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) diiringgi pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) untuk dihadapkan ke Mahkamah Seksyen Kangar atas tuduhan terbabit rasuah. NSTP/MUHAMMAD MUSTAKIM RAMLI

KANGAR: Tiga anggota penguat kuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Perlis mengaku tidak bersalah atas pertuduhan rasuah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini.

Sahrill Saadan, 36; Yusri Yusof, 48; dan Ahmad Azman Mohamed, 43, membuat pengakuan sejurus pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Azman Abu Hassan.

Berdasarkan pertuduhan, Sahrill dan Yusri yang bertugas sebagai Pembantu Pegawai Penguat Kuasa didakwa menerima rasuah masing-masing RM100 dan RM200 daripada seorang pemandu lori, Azahar Ahmad, sebagai dorongan tidak mengambil tindakan terhadap kesalahan membawa lebih muatan.

Sahrill didakwa melakukan kesalahan itu pada 14 Oktober tahun lalu di Jalan Kaki Bukit menuju Jalan Wang Kelian di Padang Besar pada jam 5.52 petang, manakala Yusri di Jalan Kurong Batang menuju Jalan Sungai Batu Pahat, dekat sini, pada jam 2.07 petang 13 Oktober tahun lalu.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 (Akta 694) yang jika sabit kesalahan, boleh dihukum mengikut Seksyen 24(1) akta sama.

Ahmad Azman didakwa mengikut Seksyen 21(b) Akta SPRM 2009 atas kesalahan meminta suapan RM200 daripada pemandu lori terbabit yang melakukan kesalahan sama, di Jalan Kuala Perlis-Changloon, dekat sini, pada jam 11.35 pagi, 28 Oktober tahun lalu.

Hakim menetapkan ikat jamin RM2,000 bagi setiap tertuduh dan 2 November ini sebagai tarikh sebutan semula kes.

Berita Harian X