Jumaat, 30 September 2016 | 4:46pm
KEADAAN kedai emas yang di rompak dalam sebuah pasaraya di Kuala Langat, Banting. - Foto Ihsan Pembaca

Barang kemas RM500,000 lesap dalam lima minit

BANTING: Empat lelaki, seorang daripada mereka bersenjatakan sepucuk pistol melarikan 12 dulang barang kemas bernilai lebih RM500,000 dalam rompakan kedai emas di sebuah pasar raya di Banting, di sini, pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Mohd Zailan Tasir, berkata ketika kejadian jam 11.35 pagi itu, lima pekerja premis sedang melayan pelanggan di ruang pameran barang kemas premis berkenaan.

"Seorang daripada suspek kemudian mengacukan senjata terhadap pekerja, manakala tiga lagi memecahkan cermin ruang pameran barang kemas menggunakan tukul besi.

"Siasatan awal mendapati semua suspek dipercayai masuk menerusi pintu belakang pasar raya. Berdasarkan keterangan saksi, semua suspek yang memakai topeng ini mengambil masa lima minit, sebelum melarikan diri menggunakan kenderaan jenis Naza Citra berwarna kelabu," katanya ketika dihubungi BH di sini, hari ini.

Mohd Zailan berkata, siasatan awal mendapati premis itu tidak menggunakan khidmat pengawal keselamatan sejak tiga bulan lalu dan siasatan sedang dijalankan, termasuk meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di sekitar lokasi kejadian.

Berita Harian X