Jumaat, 30 September 2016 | 9:54pm

PDRM umum pertukaran jawatan 10 pegawai kanan

KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengumumkan pertukaran dan penyelarasan 10 pegawai kanannya, berkuat kuasa 1 November depan.

Ketua Komunikasi Korporat PDRM, Urus Setia Ketua Polis Negara (KPN), Asisten Komisioner Datin Asmawati Ahmad, berkata mendahului senarai adalah Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK), Datuk A Thaiveegan, yang memangku pangkat Komisioner Polis, namun kekal dengan jawatan sekarang.

Beliau berkata, Ketua Penolong Pengarah (D5) Pendakwaan dan Undang-Undang, Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), Datuk Azham Othman bertukar sebagai Timbalan Pengarah JSJ (Siasatan dan Perundangan) dengan memangku pangkat Deputi Komisioner.

Turut bertukar, Ketua Penolong Pengarah (Risikan dan Operasi), Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN), Senior Asisten Komisioner Kang Chez Chiang yang dilantik sebagai Timbalan Pengarah JSJN bahagian Risikan dan Operasi dengan memangku pangkat Deputi Komisioner Polis.

"Ketua JSJN Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, Asisten Komisioner Zulkifli Ali ditukar ke Bukit Aman dengan memegang jawatan sebagai Ketua Penolong Pengarah (Risikan dan Operasi) dengan memangku pangkat Senior Asisten Komisioner.

"Ketua JSJK IPK Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Izany Abdul Ghany bertukar jawatan sebagai Ketua Penolong D5 Pendakwaan dan Undang-undang, JSJ Bukit Aman dengan memangku pangkat Senior Asisten Komisioner," katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Sementara itu, Pegawai Turus E6B, Cawangan Khas Bukit Aman, Asisten Komisioner Ahmad Fawzan Mohamed bertukar sebagai Penolong Pengarah Saisatan Intelligence dan Analisis/Tatacara Perundangan (E6) Cawangan Khas juga memangku pangkat Senior Asisten Komisioner.

Tempat Ahmad Fawzan diambil alih Superintendan E6E1, Cawangan Khas Bukit Aman, Superintendan Mohd Zahari Sidik dengan memangku pangkat Asisten Komisioner.

Asmawati berkata, Timbalan Ketua JSJK (Jenayah Korporat dan Kewangan) IPK Selangor, Superintendan Mohd Luthfi bertukar ke IPK Kuala Lumpur dengan memegang jawatan sebagai Ketua JSJK dengan memangku pangkat Asisten Komisioner.

Turut ditukarkan, Pegawai Turus E4, Cawangan Khas IPK Kuala Lumpur, Superintendan Izan Bakri, yang dilantik sebagai Timbalan Ketua Cawangan Khas 1, IPK Kuala Lumpur dengan memangku pangkat Asisten Komisioner.

"Ketua JSJN IPK Sarawak, Superintendan Lukas Anak Aket pula ditukarkan ke IPK Johor sebagai Ketua JSJN dengan memangku pangkat Asisten Komisioner," katanya.

Berita Harian X